GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang terus memperkukuh usaha menangani isu keganasan rumah tangga menerusi Program ‘Wonderful Lives’ Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM Negeri Pulau Pinang 2026.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, usaha menangani keganasan rumah tangga memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak boleh diletakkan sebagai tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Keganasan rumah tangga bukan isu peribadi yang perlu didiamkan.
“Ia merupakan isu sosial yang memberi kesan besar kepada mangsa, anak-anak dan keluarga, justeru masyarakat perlu berani bersuara, mengenal pasti tanda-tanda keganasan dan membantu mangsa mendapatkan perlindungan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutup ‘Wonderful Lives’ Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM Negeri Pulau Pinang 2026 dekat sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Ping dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat, Nor Harina Ayob.
Tambahnya, komuniti mempunyai peranan penting sebagai pihak yang paling hampir dengan mangsa, termasuk jiran, saudara-mara, rakan, pemimpin komuniti dan sukarelawan.
“Pendekatan kita bukan sekadar bertindak selepas kejadian berlaku tetapi juga memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan untuk mengenal pasti risiko dan membantu mangsa mendapatkan bantuan lebih awal.
“Jangan menyalahkan mangsa atau mempersoalkan mengapa mereka masih berada dalam hubungan berkenaan.
“Sebaliknya, kita perlu bertanya apakah bentuk sokongan yang boleh diberikan,” tambah Hui Ying merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Dalam pada itu, Hui Ying memaklumkan statistik JKM menunjukkan keganasan rumah tangga kini berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk fizikal, emosi, psikologi dan seksual, selain penderaan kewangan serta digital.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 7,391 kes pada 2025.
Sehingga Jun 2026 pula, sebanyak 4,014 kes dilaporkan di seluruh negara berbanding 3,768 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Di Pulau Pinang, sebanyak 461 kes disiasat pada 2024, diikuti 349 kes pada 2025 dan 157 kes sehingga Jun 2026.
“Program Wonderful Lives turut menjadi sebahagian daripada rancangan lima tahun bagi memperkukuh usaha menangani keganasan rumah tangga di 10 negeri yang merekodkan statistik kes tertinggi pada 2025, termasuk Pulau Pinang.
“Bagi tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM menerima peruntukan RM200,000 untuk melaksanakan program advokasi berkaitan, termasuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuh perlindungan kepada masyarakat.
“Program itu turut menghimpunkan pegawai JKM Pulau Pinang, wakil Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia, OSCC Hospital Pulau Pinang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta wakil komuniti,” ulasnya lagi.
Hui Ying berharap Program Wonderful Lives dapat membentuk masyarakat yang lebih peka, prihatin dan berani bertindak dalam menangani keganasan rumah tangga, selain memastikan mangsa mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian dan berhak mendapatkan bantuan.