Sedia laluan kaki lima bebas, penguatkuasaan diteruskan

Admin

GEORGE TOWN –Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan meneruskan penguatkuasaan terhadap halangan tetap di sepanjang laluan pejalan kaki sekitar kawasan Tapak Warisan Dunia George Town tahun ini.

Ahli Majlis MBPP, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, usaha tersebut adalah sejajar dengan Cadangan Program Reruang Awam di dalam Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia iaitu menyediakan laluan kaki lima bebas daripada sebarang jenis hadangan atau halangan untuk keselamatan, kemudahan dan keselesaan pengguna.

“Sebanyak 17 halangan tetap telah dikenal pasti di sekitar tapak warisan, yang mana MBPP telah mengeluarkan surat secara pentadbiran kepada semua pemilik premis di sepanjang Lebuh Chulia sejak pertengahan tahun lepas.

“Sehingga kini (April), didapati sembilan premis telah mengeluarkan struktur tambahan tanpa kebenaran dengan sendirinya.

Malah, pada masa sama, MBPP juga telah menjalankan tindakan penguatkuasaan atau perobohan terhadap empat premis lain.

“Justeru, untuk tahun ini, MBPP mempunyai rancangan untuk mengeluarkan 10 peratus lagi halangan tetap yang telah menghalang laluan pejalan kaki dalam kawasan warisan,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalu Lintas MBPP pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis MBPP, Khoo Salma Nasution dan pemilik-pemilik premis perniagaan di sekitar Tapak Warisan Dunia George Town.

Antara lokasi yang dikenal pasti berhubung ‘permasalahan’ berkaitan ialah Lebuh Gereja, Lorong Soo Hong, Lebuh Armenian, Lebuh Buckingham, Lebuh Carnovan, Lebuh Campbell dan Jalan Masjid Kapitan Keling Pada tahun lalu, MBPP telah memilih Lebuh Chulia sebagai projek perintis untuk menggalakkan penggunaan laluan pejalan kaki, dan kempen berkaitan dimulakan sejak April 2016.

Justeru, Muhammad Bakhtiar menyatakan bahawa pihaknya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan kempen ‘Bandar Mesra Pejalan Kaki’ tersebut berkesan dan dilaksanakan dengan jayanya.

“MBPP komited dalam menyediakan laluan pejalan kaki yang bebas halangan dan akan sentiasa membantu para peniaga dalam apa cara yang boleh.

MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik (kiri sekali) menunjukkan
struktur tambahan yang menghalang laluan pejalan kaki
yang telah dirobohkan dekat kaki lima sekitar Lebuh Chulia
di sini baru-baru ini.

“Kaki lima yang bebas halangan boleh meningkatkan bilangan pejalan kaki dan secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk bertandang,” jelas beliau.