GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban mencadangkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyediakan tapak penjaja berbentuk kiosk.
Jelasnya, hasil pertemuan dengan penjaja kecil, para peniaga mengakui kekurangan ruang niaga yang sesuai menjadi punca kesukaran kepada peniaga.
“Mereka bukan hanya memerlukan bantuan kewangan, tetapi juga sokongan dari segi lokasi strategik dan promosi digital.
“Saya ingin mencadangkan agar pihak MBPP menyediakan tapak niaga yang sah seperti penyediaan tapak penjaja sementara atau kiosk di kawasan yang sesuai di Batu Uban.
“Perkara ini diharap mampu menangani isu-isu berbangkit seperti penjaja tidak sah dapat ditangani dalam situasi menang-menang,” ujarnya pada pada perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Mengulas isu lalu lintas, Kumaresan berharap lampu isyarat pintar dapat diwujudkan dalam menangani kesesakan jalan raya yang meruncing.
“Saya mohon agar pihak berwajib melihat kepada kesesakan di Jalan Bukit Gambir menghala ke Jalan Aziz Ibrahim yang menjadi mimpi ngeri kepada penduduk, pelajar dan pekerja terutamanya pada waktu kemuncak.
“Saya mohon agar satu pelan penyuraian trafik yang serius termasuk semakan semula waktu lampu isyarat, penempatan anggota trafik atau penggunaan teknologi pintar di kawasan ini (smart traffic light),” katanya lagi.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR