Segera hubungi polis jika lihat aktiviti curi kabel – ADUN

Admin
img 9963

BATU UBAN – Orang ramai diminta supaya lebih peka dan bersama-sama membantu pihak polis menangani kes kecurian kabel terutamanya sekitar Minden Heights.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan, berkata, perbuatan tersebut dipercayai dilakukan oleh individu profesional dalam bidang tersebut.

 

“Kita difahamkan kerja-kerja mencuri kabel ini dilakukan dalam pasukan dan kegiatan ini beroperasi dari jam 11 malam hingga 4 pagi.

 

“Mereka akan gunakan lori, tarik kabel keluar dari bawah jalan raya dan saya percaya orang yang melakukan perkara ini ada pengalaman, tambahan pula penutup lubang tersebut bukanlah suatu yang mudah untuk dibuka.

 

“Akibat daripada perbuatan ini ia menyebabkan kerugian kepada Telekom Malaysia (TM), juga boleh mendatangkan bahaya apabila lubang tersebut terbuka atau tidak ditutup dengan betul sehingga boleh mengakibatkan kemalangan,” ujarnya.

496121763 1165282165612378 689155655852440733 n

Beliau berkata demikian ketika melawat ke salah satu lokasi yang disyaki berlakunya kecurian kabel dekat Changkat Minden Jalan 1 di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Inspektor Mohd. Fazli Ayob dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Brown serta wakil TM.

 

Mengulas lanjut, Kumaresan memohon orang ramai yang melihat sebarang kejadian mencurigakan supaya terus hubungi talian Hotline Pusat Khidmat Batu Uban +60 17-277 0388 atau Balai Polis Jelutong 04-282 5922 dengan segera.

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD