Segerakan kelulusan baki permohonan TP1M – Exco

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN– Kerajaan Pusat digesa memberikan maklumbalas segera berhubung proses permohonan Tabung Penyelenggaraan Malaysia (TP1M) membabitkan baki daripada 116 permohonan di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, daripada 116 permohonan dikemukakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), hanya separuh permohonan diluluskan.

“Keseluruhan permohonan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) ini adalah sejumlah 116, tetapi hingga April (kini), hanya sejumlah 50 permohonan diluluskan iaitu 23 projek di bawah MPPP, manakala, selebihnya (17 projek) di bawah MPSP.

“Baki 66 projek lagi bagaimana statusnya?.

“Itupun (surat pemberitahuan kelulusan), hanya diperoleh setelah saya, MPPP dan MPSP menghantar surat permohonan penjelasan status permohonan-permohonan tersebut kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” tegasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan Fook Sing dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

TP1M yang dilancarkan pada 2010 adalah bertujuan membaikpulih dan menyelenggara perumahan kos rendah (KR) dengan tanggungan kos  bernisbah 90:10 (90 peratus dibiayai TP1M dan bakinya, persatuan penduduk). Bagi rumah kos sederhana rendah (KSR), peruntukan diberikan dengan nisbah 70:30.

Tambah Jagdeep, Pulau Pinang melalui Program HAPPY! (Housing Assistance Programme of Penang) dengan jumlah peruntukan dana  sebanyak RM50 juta bersedia digunakan sekiranya permohonan-permohonan tersebut diluluskan.

Nada sama disuarakan Jerry dengan menyatakan bahawa corak perumahan di Pulau Pinang adalah kebanyakannya terdiri daripada bangunan yang tinggi.

“Kebanyakkan daripada bangunanbangunan ini telah melebihi usia 10 tahun dan wajar diselenggara.

“Justeru, saya memohon Kerajaan Persekutuan (Pusat) supaya pertimbangkan kelulusan projek-projek tersebut dengan kadar segera dengan mengambil kira keselamatan para penghuni,” seru beliau.