Ambil tindakan skandal ITIS – Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng amat terkejut bahawa Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (Integerated Transport Information System, ITIS) bernilai RM365 juta yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan pada 2002 bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur telah gagal sama sekali.

Lanjutan itu, ia memerlukan tender tambahan sebanyak RM200 juta pada tahun ini untuk menyelamatkan sistem pengurusan trafik tersebut.

Jelasnya, projek baru bernilai RM200 juta itu telah diberikan kepada GTC Global Sdn. Bhd. tahun ini, yang kini telah pun diambil alih oleh Telekom Malaysia Bhd.

“Dengan kata lain, sekitar RM565 juta akan dibelanjakan ke atas sistem pengurusan lalulintas yang gagal, berbanding sistem serupa di negara lain seperti Singapura dan Hong Kong yang berjaya.

“Ini menimbulkan persoalan kenapa negara lain boleh berjaya, manakala negara kita gagal meskipun berbelanja ratusan juta ringgit,’’ tegasnya dalam satu kenyataan media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang masih mempertimbangkan suatu bentuk sistem pengurusan lalulintas untuk menguruskan kesesakan.

“Kami setelah didekati oleh beberapa penjual. Pun begitu, kami lebih suka untuk melihat bagaimana ITIS berfungsi dan beroperasi.

“Kerugian besar dan kegagalannya telah menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menangguhkan sebarang tindakan dan mengambil sikap tunggu dan lihat untuk memastikan sama ada ITIS benar-benar boleh berfungsi,’’ ujarnya.

Tambah beliau, rakyat Malaysia bagaimanapun tidak mampu untuk mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal RM565 juta ITIS.

“Bukan sahaja harus ada kebertanggungjawaban dan ketelusan penuh oleh Kerajaan Persekutuan, malah ia mesti tegas dan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah membazirkan wang rakyat ke atas sistem yang langsung gagal berfungsi.

“Kegagalan untuk mengambil tindakan akan menunjukkan bahawa integriti menjadi mangsa kepada kroni dan keadilan menjadi mangsa kekuasaan,’’ tegas Guan Eng