Segerakan penilaian risiko dan suntikan vaksin pekerja sektor perkilangan di Pulau Pinang – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi menggesa supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak-pihak berkaitan untuk segera membuat analisa penilaian risiko terhadap situasi semasa penularan COVID-19 di Pulau Pinang.

Gesaan tersebut dibuat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berdasarkan kepada kes jangkitan semasa membabitkan kluster-kluster aktif di negeri ini terutamanya sektor perkilangan yang mencatatkan jumlah kes tertinggi.

“Kerajaan Negeri sudah banyak kali menyeru supaya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) program ‘Safe@Work’ yang diusulkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat disegerakan penguatkuasaannya khususnya di kilang-kilang dekat Pulau Pinang.

“(Kerana) ironinya, kluster-kluster pekerja yang berkerja di kilang masih aktif serta mencatatkan jumlah tertinggi, dan kita (Kerajaan Negeri) berharap penguatkuasaannya dapat dipertingkatkan lagi.

“Di samping itu, pihak Kerajaan Persekutuan juga diharap dapat mempertimbang serta menyegerakan pemberian suntikan vaksin kepada golongan tersasar iaitu mereka yang bekerja/berkhidmat dalam sektor perkilangan di sini (Pulau Pinang),” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Kon Yeow hadir ke Hospital Pulau Pinang (HPP) tengah hari tadi bagi menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Hadir sama dan turut menerima suntikan dos kedua, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II); Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri); Datuk Sahabudin Abdul Manan (Ketua Polis Pulau Pinang) dan Datuk Dr. Asmayani Khalib (Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, JKNPP).

Sebagai rekod, Kon Yeow bersama-sama lima kepimpinan berkaitan menerima suntikan vaksin pertama pada 28 Februari lalu.

Berdasarkan makluman JKNPP, sehingga 20 Mac 2021 sebanyak 18 kluster aktif dicatatkan di Pulau Pinang iaitu perkilangan sebanyak 11 kluster, pendidikan (1), Depot Tahanan Imigresen/Penjara (2) dan lain-lain (4).

Mengulas lanjut berhubung pemberian vaksin Fasa 1 di Pulau Pinang, Kon Yeow memaklumkan bahawa sehingga 21 Mac 2021 (semalam), seramai 28,316 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Kini cuma tinggal kira-kira 3,000 penerima lagi yang masih menunggu untuk pemberian vaksin pada fasa ini.

“Manakala, seramai 328 penerima telah menerima (suntikan) dos kedua yang sudah bermula sejak beberapa hari lalu,” maklumnya.

Difahamkan sehingga semalam, sejumlah 444,185 orang yang telah mendaftar untuk menerima vaksin di Pulau Pinang.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS