Seiring perkembangan industri halal dunia, Pulau Pinang destinasi pilihan pelancongan perubatan  – Exco

Admin
DR. Afif Bahardin (empat dari kiri) dan Abdul Halim Hussain (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama panel Penjagaan Kesihatan sempena PIHEC ke-10 baru-baru ini.

PANTAI JEREJAK – Seiring dengan perkembangan industri halal dunia yang mencecah nilai pasaran USD3.2 trilion pada tahun 2010, menjadikan Pulau Pinang tidak ketinggalan dalam menerajui industri tersebut apabila menjadi pilihan destinasi pelancongan perubatan kini.

 

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika berucap berkata, 67 peratus dari USD3.2 trilion itu merangkumi sektor makanan manakala 22 peratus lagi adalah industri perubatan.

 

“Pulau Pinang hari ini turut memberi perhatian kepada industri pelancongan perubatan… seiring perkembangan dunia perubatan menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelabur bagi mengembangkan perniagaan seperti pembukaan kilang-kilang berkaitan sektor kesihatan di sini.

 

“Halal ini sebenarnya tidak terhad kepada Muslim semata-mata kerana apabila diiktiraf sebagai halal, ianya juga merangkumi aspek kebersihan dalam menjamin kualiti sesuatu produk,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika merasmikan Seminar Penjagaan Kesihatan sempena Penang International Halal Expo and Conference (PIHEC) ke-10 di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain serta barisan panel bagi seminar tersebut.

Mengambil contoh seperti negara Jepun yang menitikberatkan soal halal, Afif berkata negara matahari terbit tersebut kini memperkenalkan aplikasi halal pada telefon pintar.

“Kalau ke Jepun, di sana ada aplikasi halal di mana kita boleh mencari restoran halal hanya menggunakan aplikasi… dari situ ia menyediakan pengguna kemudahan navigasi ke tempat yang diingini.

“Tambahan pula tahun 2020, Jepun akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik Tokyo, jadi mereka rasakan perlu industri halal ini diperluaskan untuk negara-negara Islam yang mengambil bahagian,” jelasnya lanjut.

Lebih 50 wakil penggiat industri perubatan, farmasi, penjagaan kesihatan dan barisan panel-panel pakar dari dalam dan juga luar negara turut menyertai seminar tersebut yang dianjurkan bersempena PIHEC ke-10 baru-baru ini.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI