GEORGE TOWN – Sehingga Mac lepas, Kerajaan Negeri terus memperkasakan agenda kebajikan rakyat melalui portfolio Pembangunan Luar Bandar dengan merekodkan perbelanjaan sebanyak RM749,000.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui program Peruntukan Khas Ekonomi (PKE) yang merangkumi projek bina baharu rumah, kerja-kerja pembaikan serta bantuan peralatan di kelima-lima daerah di negeri ini.
“Sehingga Mac 2026, inisiatif ini telah memberi manfaat secara langsung kepada hampir 30 penerima layak dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 14 Mei 2026.
Selain itu, Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini menyedari isu peningkatan kos semasa bagi pelaksanaan program PKR, serta sedang dalam proses penelitian untuk menaikkan kadar siling bagi program bina baharu rumah rakyat termiskin.
“Kita sedang menyemak untuk meningkatkan kadar siling daripada RM75,000 kepada RM85,000 bagi setiap unit rumah.
“Ini, selaras dengan komitmen kita untuk memastikan rumah yang dibina kekal berkualiti meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa,” jelasnya.
Bagi tahun 2026 secara keseluruhan, Buletin Mutiara diberitahu bahawa sebanyak RM5.8 juta peruntukan PKE telah diluluskan untuk diagihkan ke seluruh daerah bagi membiayai pelbagai projek pembangunan dan bantuan peralatan kepada golongan berpendapatan rendah.
Menyentuh mengenai pembangunan ekonomi komuniti, Rashidi turut berkongsi kejayaan pelaksanaan Program Sokongan Desa Sejahtera Negeri Pulau Pinang Tahun 2025.
“Program rintis yang memperuntukkan RM15,000 bagi setiap daerah itu telah berjaya membantu lebih 20 penerima melalui pemberian peralatan bagi meningkatkan produktiviti perniagaan kecil di luar bandar.
“Indikator kejayaan program ini dapat dilihat menerusi peningkatan pendapatan dan kecekapan operasi harian para peniaga, dan maklum balas yang diterima menunjukkan bantuan ini memudahkan urusan mereka memenuhi permintaan pelanggan semakin bertambah,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rashidi turut menzahirkan penghargaan kepada ADUN Batu Uban, A. Kumaresan atas kerjasama erat dalam menjayakan projek bina baharu rumah bagi dua warga emas di kawasan tersebut.
“Saya berharap penglibatan aktif Pejabat Daerah dan Tanah serta komitmen daripada wakil-wakil rakyat dapat diteruskan bagi memastikan tiada golongan memerlukan yang tercicir daripada menerima bantuan Kerajaan Negeri,” ulasnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN