Penguatkuasaan berperingkat larangan beg plastik bermula 1 September ini

Admin
f8c419e9 e507 47e5 b519 3de203978b9b

 

GEORGE TOWN – Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo menegaskan bahawa penguatkuasaan larangan beg plastik sekali guna akan bermula 1 September 2026.

Jelasnya penguatkuasaan hanya melibatkan kategori premis tertentu di bawah fasa pelaksanaan GP Plastic Bag Only

“Kategori adalah seperti pasar raya besar, gedung serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di stesen minyak.

“Premis lain terlibat adalah kedai rangkaian, farmasi dan klinik, (sementara) kategori lain akan diperkenalkan secara berperingkat.

“Penjaja dan pasar awam adalah dikecualikan daripada pelaksanaan larangan tersebut buat masa ini,” ujarnya dalam satu sidang media sebentar tadi.

Tambahnya, pengecualian tersebut mengambil kira realiti operasi yang dihadapi oleh penjaja dan peniaga pasar basah, khususnya dalam pengendalian bahan basah dan segar, di mana alternatif yang sesuai dan praktikal masih dalam peringkat kajian.

“Kerajaan Negeri sedang meneroka alternatif yang lebih mesra alamseperti produk bio-kompos serta produk atau beg biodegradasi.

“Kerajaan Negeri juga menggalakkan orang ramai untuk membudayakan amalan membawa beg guna semula semasa membeli-belah.

“Kami berharap masyarakat terus menyokong usaha ini dengan memilih alternatif guna semula dalam kehidupan seharian,” jelasnya lagi.

Bagi menyokong perubahan tingkah laku serta meningkatkan akses kepada alternatif guna semula, Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai memaklumkan sebanyak 55,000 beg tote guna semula telah diedarkan kepada orang awam di bawah Kempen No Single Use Plastic (NSUP) setakat ini.

Selain itu, beliau berkata tiga Stesen ReBag juga telah diwujudkan di sekitar Pulau Pinang bagi menggalakkan orang ramai menggunakan semula beg membeli-belah dan mengurangkan kebergantungan kepada plastik sekali guna.

“Orang ramai boleh merujuk kepada platform media sosial Penang Green Council untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dan lokasi Stesen ReBag tersebut.

“Selain inisiatif NSUP, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan menyeragamkan pelaksanaan inisiatif Tak Nak Penyedut Minuman Plastik di kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuatkuasa 1 September 2026.

“Di bawah pelaksanaan ini, penggunaan penyedut minuman plastik akan dilarang, manakala alternatif yang lebih mesra alam seperti produk bio-kompos dan
biodegradasi amat digalakkan sebagai pengganti,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan dan Penang Green
Council akan terus mempergiat usaha kesedaran dan pendidikan melalui inisiatif Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) merangkumi pelbagai sektor dan komuniti.

“Inisiatif ini bukan bertujuan untuk membebankan pihak perniagaan atau orang awam, sebaliknya merupakan langkah berperingkat ke arah membentuk amalan penggunaan yang lebih lestari serta tanggungjawab alam sekitar jangka panjang di Pulau Pinang,” jelasnya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN