Sektor swasta diseru sumbang inovasi SnET 2.0, bantu kurangkan beban murid

Admin
photo 6197421629999092096 y Tze Tzin (tiga dari kiri) diiringi Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail (dua dari kiri) menunjukkan isyarat bagus terhadap inovas SnET yang kini memasuki siri 2.0 di SK Seri Permai, Bayan Baru.

BAYAN LEPAS – Lebih banyak sektor swasta di negeri ini diseru menyumbang kepada pembangunan inovasi Smart and Easy Table (SnET) di seluruh negara yang kini sudah memasuki siri 2.0.

SnET adalah inovasi pengubahsuaian meja pintar sekolah pertama di negara ini yang sedikit sebanyak meringankan bebanan beg berisi buku digalas oleh murid setiap hari apabila ke sekolah.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, SnET 2.0 adalah penting dalam menyelesaikan masalah beg berat yang seringkali ditanggung oleh murid sekolah sehingga menyebabkan ada di antara mereka mengalami masalah pertumbuhan tumbesaran fizikal.

“Inovasi SnET ini bermula dari sekolah dan kita lihat inovasi ini mampu menyelesaikan masalah beg berat yang ditanggung oleh murid sekolah sehingga menyebabkan pertumbuhan fizikal mereka terbantut akibat kekuatan tulang mereka terganggu.

“Inovasi ini membolehkan murid dapat merancang dan mengurus keperluan pembelajaran mereka dengan lebih efisien menggunakan lokar simpanan mahupun kompartmen yang terdapat pada meja pintar itu.

“Justeru, saya menyeru supaya lebih banyak syarikat korporat atau pihak swasta untuk meneruskan sumbangan SnET 2.0 agar penggunaanya diperluaskan ke seluruh negeri ini dan negara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Program Jalinan Rakan Strategik Sekolah: Majlis Penyerahan SnET 2.0 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, di sini, sebentar tadi.

photo 6197421629999092098 y
Inovasi SnET 2.0 menyediakan kemudahan seperti lokar dan laci menyimpan buku teks, nota dan aktiviti, tempat meletak bekas minuman, peralatan menulis di sisi meja serta beg sekolah di bahagian tepi kerusi yang boleh digunakan oleh murid sesi persekolahan pagi dan petang.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPKK) Unit Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah Rendah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Hussaini Abdullah; Pegawai Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Daerah Barat Daya, Dr. Mohd. Siroj Abdul Lathiff; Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail dan barisan pentadbir serta guru SK Seri Permai.

Selain itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Projek LRT Laluan Mutiara Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Mahathir Ahmad Marzuki dan Pengurus Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Zulkifli Ismail mewakili pihak swasta juga hadir memberikan sokongan terhadap program tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, untuk permulaan pihaknya telah menaja sebanyak 80 meja pintar SnET 2.0 bagi kegunaan murid-murid di SK Seri Permai.

photo 6197421629999092100 y
Tze Tzin menunjukkan buku sekolah yang diletakkan dalam kompartmen meja pintar yang diubahsuai menerusi inovasi SnET 2.0 di SK Seri Permai, Bayan Baru.

“Langkah ini juga mendapat perhatian daripada pihak swasta seperti MRT Corp yang menyumbang 40 buah meja pintar dan diikuti pihak PDC yang turut menyumbang 20 buah meja pintar untuk tujuan pembelajaran di sekolah ini.

“Diharapkan lebih ramai lagi penyertaan koporat dari sektor swasta dalam inisiatif ini dalam membantu pengurusan pembelajaran murid di sekolah,” katanya.

Inovasi SnET 2.0 menyediakan kemudahan seperti lokar dan laci menyimpan buku teks, nota dan aktiviti, tempat meletak bekas minuman, peralatan menulis di sisi meja serta beg sekolah di bahagian tepi kerusi yang boleh digunakan oleh murid sesi persekolahan pagi dan petang.

Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN