COSDEM 2026: Pendidikan perlu dijana daripada kesedaran kepada tindakan nyata bagi tangani perubahan iklim

8e52a9f8 1c88 498c b879 ac2a1a9c5b6f MAJLIS penyampaian hadiah kepada johan kepada pemenang Anugerah Pemimpin Lestari Sekolah Pulau Pinang 2026, kepada Lee Yee Yong dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sum Min, di sini pada 3 Oktober 2026.

GEORGE TOWN – Pendidikan alam sekitar perlu melangkah jauh melebihi tahap pemahaman asas dengan bergerak ke arah tindakan komuniti yang nyata bagi melahirkan generasi muda yang berdaya tahan dalam menghadapi krisis perubahan iklim.

Mengulas lanjut, Pengerusi Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW), Khou Jerome menegaskan bahawa pendekatan pendidikan kelestarian tidak harus terhenti di bilik darjah, sebaliknya perlu diterjemah menerusi amalan serta aplikasi pada peringkat sekolah dan komuniti.

Menurut beliau, usaha berkenaan menjadi tonggak utama penganjuran Conference on Sustainable Development Through Education Malaysia (COSDEM) 2026 yang mengangkat tema “Educating for Climate Resilience: From Awareness to Community Action”.

“Sepanjang COSDEM 2026, peserta bukan sahaja mempelajari mengenai perubahan iklim, daya tahan dan adaptasi, malah diberi peluang meneroka teknologi digital, mengikuti pembelajaran di luar bilik darjah, menjalankan aktiviti eksperimen serta menghasilkan idea dan penyelesaian berkaitan cabaran perubahan iklim,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan persidangan tersebut di sni, hari ini.

6667f5e7 eb59 4e1a 9b58 bce8ec9c89ff cad8b2ea 2512 4bc8 a56a 957ab70e362eDi samping itu, Jerome menjelaskan bahawa penglibatan aktif murid dalam tugasan praktikal seperti pembinaan rantaian makanan dan penghasilan video pendek berasaskan adaptasi bencana memberikan pengalaman terus yang memantapkan pemahaman mereka terhadap isu alam sekitar.

Pada masa sama, menurutnya lagi, para pendidik turut dicabar membina rancangan pengajaran kreatif menerusi pertandingan 3-Minute Pitching on Climate Resilience Lesson Plan yang menggabungkan pedagogi, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Justeru, beliau menggesa para peserta agar tidak sekadar membawa pulang kenang-kenangan, sebaliknya bertekad membawa perubahan di persekitaran masing-masing.

“Jangan pulang hanya dengan sijil, hadiah dan gambar tetapi pulanglah dengan satu idea yang mahu dilaksanakan dan satu perubahan yang mahu dimulakan,” tegas beliau.

Difahamkan, penganjuran COSDEM 2026 yang dikelolakan oleh GREW dengan kerjasama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) ini telah berjaya menghimpunkan pelbagai pihak termasuk guru, murid, pemimpin sekolah, agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), dan wakil industri.

Program tersebut turut mendapat suntikan sokongan menerusi inisiatif Teach for STEM 2026 dengan penajaan daripada EXCO Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi Negeri Pulau Pinang.

Jerome berkata, pihak penganjur optimis bahawa usaha menyeluruh ini berupaya memperkukuh potensi murid sebagai agen perubahan, meningkatkan kepakaran guru serta membina budaya sekolah yang benar-benar lestari.

“Pihak GREW merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakan penganjur, fasilitator, penceramah, juri, sukarelawan dan sekretariat yang bekerja keras menjayakan persidangan ini.

“Daripada awareness kepada action, daripada action kepada practice dan daripada practice kepada culture,” ujarnya.

Selain perbincangan akademik, Buletin Mutiara turut diberitahu bahawa COSDEM 2026 turut memberi penghormatan kepada 30 Pemimpin Teratas Anugerah Pemimpin Lestari Sekolah-sekolah Pulau Pinang 2026.

Daripada senarai berkenaan, 10 calon terbaik telah disaring sebelum pengiktirafan kemuncak diberikan kepada lima calon teratas serta johan bagi kategori Anugerah Pemimpin Lestari dan Anugerah Pemimpin Inspirasi.

Jerome menyatakan bahawa anugerah tersebut bertujuan menghargai komitmen barisan pentadbir sekolah yang konsisten menerajui inisiatif hijau serta menjadi pendorong kepada sekolah-sekolah lain.

“Transformasi sekolah ke arah kelestarian memerlukan usaha kolektif.

“Jika sebuah sekolah mampu mempengaruhi muridnya, lebih banyak sekolah yang bergerak bersama akan memberikan kesan yang lebih besar kepada masyarakat,” ujar beliau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB