Semarak semangat kerjasama demi pembangunan negeri – KM

GEORGE TOWN – Rata-rata rakyat negara ini sedia maklum bahawa 16 September 1963 adalah tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia kerana ia menandakan kewujudan sebuah negara bangsa.

Namun, menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Ketua Menteri, Tuan Lim Guan Eng, 31 Ogos 1957 lebih diingati dan diraikan berbanding tarikh 16 September 1963.

“Hakikatnya, 16 September 1963 harus diingati kerana tarikh inilah negara Malaysia ditubuhkan dan wujud sebagai sebuah negara yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Kita harus semat dalam ingatan, tanpa Sabah dan Sarawak, maka tidak ada Malaysia kerana Sabah dan Sarawak adalah salah satu dari tiga komponen utama pembentukan Malaysia,” ucapnya pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, isteri beliau, Betty Chew Gek Cheng, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Nor Azizah Haron, barisan Exco Kerajaan Negeri dan kepimpinan negeri yang lain.

Turut serta, pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan dipersembahkan pada sambutan berkenaan, antaranya persembahan koir dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), tarian kebudayaan dan penampilan istimewa, selebriti yang juga model tempatan, Soo Wincci.

Tambah Guan Eng, adalah wajar sebagai rakyat Malaysia yang jitu semangat patriotismenya memelihara perpaduan dan penyatuan yang terjalin sejak 52 tahun lalu, seterusnya memastikan Malaysia terus berada di landasan yang betul.

“Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya, oleh itu, saya ingin menyeru agar semua pihak terus menyemarakkan semangat kerjasama yang sedia terjalin tanpa mengira latar belakang dalam mengorak pembangunan yang lebih maju serta kesejahteraan semua pihak di Pulau Pinang,” ujarnya.

Dalam pada itu, turut diumumkan nama pemenang-pemenang bagi acara perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58 Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjuarai acara perbarisan bagi Kategori Awam, diikuti tempat kedua, Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) (ketiga).

Bagi Kategori Swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinobatkan sebagai juara, diikuti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Telekom Malaysia Berhad (ketiga).

Persatuan Bulan Sabit Merah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam mengungguli Kategori Sekolah diikuti pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul (kedua) dan KRS SMJK Phor Tay (ketiga).

Bagi Kategori Institut Pengajian Tinggi, Komander Kesatria, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang muncul sebagai Johan diikuti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam (kedua) dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (ketiga).

Bagi Kategori Pancaragam Terbaik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Xavier muncul juara diikuti SMJK Jit Sin (kedua) dan SMJK Chung Ling, Bukit Mertajam (ketiga).