Dipandang enteng, ‘sembunyi’ dalam longkang, tidak gugat amanah Pekerja Am 3D

GEORGE TOWN – Tugas sebagai Pekerja Am pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Skuad 3D (Difficult, Dirty & Dangerous) penuh risiko, namun atas rasa tanggungjawab yang diamanahkan, segala cabaran ditempuhi bagi memastikan persekitaran selamat, bersih serta rakyat sejahtera.

Ungkapan di atas begitu sinonim bagi menggambarkan pengorbanan ‘wira-wira tidak disanjung’ yang sering dan terpaksa berdepan dengan detik-detik mencemaskan dan kadang-kala mengundang bahaya dalam gerak kerja harian mereka.

Bagi KAMARUDIN WAN CHEE, 54, tugasnya membersihkan parit besar di Jalan Utama di sini tidak semudah yang disangka kerana banyak perkara perlu diambil perhatian.

“Adakala kami terpaksa melalui detik-detik mencemaskan seperti terserempak dengan ular dalam parit atau tenggelam separuh badan semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya yang merupakan salah seorang penerima Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M) pada Majlis Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Jadi ke-77 Yang diPertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.

Menurut beliau yang telah 33 tahun berkhidmat dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), halangan paling utama ketika melaksanakan tugas adalah ketika keadaan cuaca buruk selain arus parit yang deras.

Perkara sama turut dilalui rakan sekerjanya, SULAIMAN IBRAHIMSAH, 55, ketika berdepan dengan banjir saban tahun di Jalan P. Ramlee di sini.

“Ketika banjir, keadaan sekeliling menjadi sukar dan agak mencemaskan, kerana jika kita tersilap langkah, kemalangan boleh terjadi, contohnya tergelincir ke dalam longkang atau terpijak objek-objek tajam yang dihanyutkan arus,” katanya yang terkejut dengan pencalonan untuk menerima P.J.M tahun ini.

Begitu juga bagi ABDUL AZIZ AMIR, 58, yang telah berkhidmat lebih 30 tahun bersama MBPP turut berkongsi pengalaman ketika menghadapi tsunami pada tahun 2004.

“Masa tu, saya di Jalan Pantai Molek membersihkan sisa-sisa kemusnahan akibat tsunami, memang dahsyat. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat kerana kerja ini telah sebati dengan jiwa saya, orang kata sudah biasa,” kata bapa kepada enam orang cahaya mata tersebut kepada Buletin Mutiara.

Turut berkongsi pengalaman, MOHAMED CHE DAN, 57, yang terpaksa bergelumang dengan lumpur tebal akibat insiden runtuhan bukit selepas tsunami.

Dalam pada itu, bagi CHE SAAD HARUN, 57, dari Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), memberitahu bahawa peranan Pekerja Am di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sering dipandang enteng oleh sesetengah golongan masyarakat.

“Kerja macam kami ni lebih banyak ‘bersembunyi’ dalam longkang, bersih saluran air untuk pastikan ia tidak tersumbat. Tetapi ramai yang tidak sedar kehadiran kami, sewenangwenangnya buang sampah ke dalam longkang,” katanya yang telah bersama MPSP sejak 30 tahun lalu.

Bukan merungut, ujarnya, tetapi Che Saad amat berharap agar lebih ramai anggota masyarakat sedar bahawa perbuatan membuang sampah ke dalam longkang hanya akan mengundang bencana terutama ketika hujan lebat.

Kenyataan tersebut turut dipersetujui ISHAK AHMAD, 58, yang kini merupakan mandor Skuad 3D di MPSP.

“Kami ‘menjaga’ kawasan market Appollo (Pasar Pagi Appollo, Butterworth), jadi lepas waktu market, mulalah kerja kami membersihkan kawasan sekitar.

“Benda (perkara) yang membuat kami terkilan adalah apabila (kami) turut menjumpai sisa-sisa selain sisa market seperti lampin pakai buang, tin-tin minuman dan plastik pembungkus makanan,” katanya yang berharap agar masyarakat lebih sensitif dengan persekitaran dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.

Bagi ALLAUDIN DAUD, 58, beliau pernah berhadapan dengan situasi genting dan menakutkan.

“Pakcik pernah jumpa mayat manusia dalam parit masa pakcik jalankan kerja-kerja pembersihan, memang ngeri, tetapi dek tanggungjawab, pakcik memberanikan diri juga. Cuma mula-mula sahaja agak cuak sikit, tapi tak terlintas nak berhenti kerja,” ceritanya yang menetap di Butterworth, SPU.

Tambah Allaudin, keadaan kini jauh berbeza berbanding masa tahun 1980- an dan 1990-an.

“La ni (sekarang ini) semua sudah senang, ada macam-macam alat, dulu kami bertugas cuma guna tangan dan cangkul sahaja,” katanya yang bersyukur dengan penganugerahan P.J.M..

Rakan sepasukan, K. KRISMALA DEVI, 30, merupakan satu-satunya wanita yang menerima P.J.M bagi Skuad 3D MPSP.

“Tugas saya lebih kepada pentadbiran dan kerap kali berurusan dengan Pekerja Am yang lain,” katanya ringkas.

Seramai 20 Pekerja Am PBT menerima P.J.M. sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-77 TYT tahun ini.

Hadir berkongsi kegembiraan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Ang Aing Thye, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Tahniah dan ribuan terima kasih buat Skuad 3D!