Semarakkan amalan 4P, Kon Yeow respons lima kes baharu positif COVID-19 di Kedah

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan terus menyemarakkan amalan 4P iaitu Penjarakan Sosial; Pakai Pelitup Mula; Pencucian Tangan Menggunakan Sabun dan Perhatikan Gejala COVID-19 dalam semua peringkat di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan lima kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan di negeri jiran iaitu Kedah, semalam.

“Selepas kita (Pulau Pinang) berjaya mencapai status negeri Hijau, kita berasa begitu bimbang apabila ada yang semakin tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard) digariskan seperti tidak lagi amal jarak sosial, tidak pakai pelitup muka dan lain-lain yang menjadi panduan, justeru, kita harap perhatian dapat diberikan oleh pihak-pihak berwajib.

“Jangan sia-siakan apa yang telah kita capai sehingga kini, isu kepatuhan adalah amat penting. Justeru, saya menyeru kepada rakyat negeri ini untuk bersama-sama mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Dan, kita (Kerajaan Negeri) akan cuba berkongsi sentimen kebimbangan yang sama untuk rakyat tahu, untuk mereka terus mematuhi segala SOP iaitu amalan 4P,” jelasnya pada sidang media di Komtar pada 29 Julai 2020.

Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri juga mempunyai set bahan kempen baharu sendiri iaitu Amalkan 4P demi menyemarakkan kempen kesedaran di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI