Semarakkan semangat kemerdekaan dalam suasana normal baharu

GEORGE TOWN – Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2021 bagi peringkat negeri Pulau Pinang dilancarkan secara sederhana hari ini.

Dengan mengekalkan tema ‘Malaysia Prihatin’, majlis pelancaran sambutan berkenaan pada tahun ini masih mengekalkan kaedah hibrid bagi menyesuaikan amalan normal baharu dek penularan pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pandemik COVID-19 tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada rakyat di negara ini untuk terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dan patriotisme dalam diri masing-masing.

“Saya percaya suasana normal baharu ini tidak menghalang kita semua untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan patriotisme yang ada dalam diri, sebagaimana tekad serta keazaman kita dalam mengharungi kelangsungan hidup pada masa ini.

Ketua Menteri bersama-sama dif-dif kehormat semasa merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dekat Komtar di sini.

“Berteraskan aspirasi dan tekad inilah, Kerajaan Negeri melalui Kempen Penang Lawan COVID-19 akan terus memastikan langkah-langkah sistematik dan agresif terus diambil demi keselamatan kita semua.

“Ini juga selaras dengan hasrat Pulau Pinang untuk mencapai 100 peratus suntikan dos pertama bagi populasi dewasa menjelang awal September ini, sekali gus mencapai imuni kelompok lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan,” katanya semasa melancarkan majlis tersebut dekat Auditorium A, Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar serta Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Pada masa sama, Kon Yeow turut menyeru seluruh rakyat negeri ini agar terus berganding bahu dengan wadah dan teras yang kukuh sebagai lambang penyatuan dan keprihatinan demi keselamatan serta kesihatan sejagat.

Melancarkan perserta konvoi Info On Wheels Merdeka.

“Dengan terjemahan logo berbentuk hati berserta corak Jalur Gemilang yang diperkenalkan pada tahun lepas ketika pertama kali kita berdepan cabaran menentang COVID-19, kita semua tidak mempunyai pilihan selain terus berganding bahu demi keselamatan semua.

“Justeru, marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang tidak kira di mana sahaja sama ada pada kenderaan, kediaman atau pejabat dan premis perniagaan bagi memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini,” serunya.

Pada majlis tersebut, Kon Yeow menerima serahan bendera Jalur Gemilang daripada Pengarah Penerangan Pulau Pinang, Dr. Haniff Hassan sebagai simbolik pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di negeri ini.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan pelepasan konvoi Info On Wheels (IOW) Merdeka dekat Lobi Komtar, di sini.

Difahamkan, sebanyak 75 program IOW Merdeka dilaksanakan dengan melibatkan 15 lokasi di kelima-lima daerah di negeri ini.

Selain itu, sebanyak 3,000 Jalur Gemilang diserahkan kepada agensi, jabatan serta barisan kepimpinan di negeri ini mulai Julai sehingga September 2021.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS