Semarakkan semangat muhibah, terajui ekonomi negeri dan negara – Ketua Menteri

Admin
dcc20bda c51f 43e6 b8ab b2f28c2485f2 KETUA Menteri menyerahkan sumbangan bantuan kepada penerima terpilih dalam majlis amal yang dianjurkan oleh Persatuan Hidayatul Islam di sini pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Sempena sambutan Ramadan, Persatuan Hidayatul Islam meraikan 40 kanak-kanak spastik dan 20 penghafal Al-Quran (hufaz) serta komuniti lokal dalam satu majlis berbuka puasa di sini sebentar tadi.

ef803a8c 2e98 488e 843f 04385c037ffe
KETUA Menteri menyampaikan ucapan dalam majlis berkaitan di sini tadi.

Sebagaimana ditunjukkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyeru seluruh rakyat negeri Pulau Pinang tanpa mengira agama dan bangsa untuk terus menyemarak semangat muhibah serta menjadi ejen peneraju kepada ekonomi negara.

“Keutuhan muhibah dan nilai kasih sayang (sebagaimana diterjemah dalam majlis pada petang ini) perlu dipelihara supaya masyarakat di Pulau Pinang ini menjadi contoh kepada pembangunan modal insan yang seimbang dari segi akademik serta akhlak mulia, di samping nadi peneraju ekonomi dalam negara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam sidang media yang diadakan selepas itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada pihak pertubuhan berkenaan kerana sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada tahun 2008, Persatuan Hidayatul Islam merupakan pasukan penyokong kuat kepada Kerajaan Negeri dalam memperkasa komuniti lokal.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng (mewakili Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran antara pemimpin negeri yang menyertai majlis amal tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LIM MIN JUN