GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad di Komtar sebentar tadi.
Pertemuan selama kira-kira 30 minit itu berlangsung dalam suasana konstruktif dengan perbincangan merangkumi hala tuju dalam memperkukuh sektor pendidikan di negeri ini termasuk Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang dilancarkan pada Januari lalu.
Dalam pertemuan sama, Mohamad Dziauddin menzahirkan penghargaan dan menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan kadar nominal cukai tanah untuk semua sekolah kepada RM50 bagi setiap hak milik berkuat kuasa Januari 2026.
Menurut beliau, usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeragamkan kadar cukai tanah bagi semua sekolah dilihat sebagai langkah meringankan beban kewangan institusi pendidikan sekali gus memastikan peruntukan sedia ada dapat difokuskan kepada penambahbaikan kemudahan pembelajaran di negeri ini.

Selain itu, Mohamad Dziauddin turut membangkitkan beberapa perkara lain, antaranya berkaitan pemberimilikan tanah sekolah; cadangan pembinaan sekolah vertikal yang menggabungkan sekolah rendah dan sekolah menengah dalam satu kawasan bagi memaksimumkan penggunaan tanah yang terhad serta proses pendaftaran murid berusia enam dan tujuh tahun bagi sesi persekolahan 2027 yang kini mencecah 15,550 permohonan dengan tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 31 Mac 2026.
Mengakhiri pertemuan, Mohamad Dziauddin menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sentiasa komited memastikan hala tuju kecemerlangan serta kualiti pendidikan terus diperkasa, sekali gus memperkukuh sektor pendidikan di negeri ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap jalinan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan JPNPP dapat mengukuhkan kesinambungan inisiatif pendidikan, meningkatkan pencapaian akademik serta memperkasa ekosistem pembelajaran pada peringkat negeri.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Mohamad Zawawi Ahmad; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Yusof Shaari; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Fadzil Sadikin; Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Farazimah Mohamad serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Sumber Manusia, Rafidah Nasrul.
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN