GEORGE TOWN – Seramai 500 lagi murid dari lima buah sekolah dalam Daerah Timur Laut menerima bantuan cermin mata sebagai siri penutup bagi keseluruhan pelaksanaan Program Bantuan Cermin Mata Murid Sekolah di Pulau Pinang pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata program tersebut merupakan kerjasama antara Yayasan Sahabat Bina Negara dan Etiqa General Takaful membabitkan dana keseluruhan sebanyak RM500,000.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM475,000 disumbangkan melalui Wakalah Zakat Etiqa General dan RM25,000 daripada Yayasan Sahabat Bina Negara.
“Setiap daerah diperuntukkan RM100,000 bagi manfaat 500 murid yang memerlukan bantuan cermin mata menjadikan keseluruhan 2,500 pelajar di negeri ini menerima manfaat daripada program ini.
“Dengan penganjuran di SK Bukit Gelugor bagi Daerah Timur Laut hari ini, maka lengkaplah pelaksanaan program ini di kelima-lima daerah utama di negeri ini.

“Inisiatif ini sekali gus melambangkan kesungguhan kita (Kerajaan Negeri) dalam memastikan tiada murid tercicir daripada menerima manfaat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan cermin mata dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor di sini sebentar tadi.
Mohamad berkata, masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan kerana kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2016 menunjukkan bahawa 10 peratus daripada kanak-kanak mengalami rabun jauh tanpa disedari.
“Keadaan ini boleh menjejaskan tumpuan mereka di dalam kelas dan memberi kesan langsung terhadap pencapaian akademik.
“Oleh itu, program bantuan cermin mata ini diharap dapat membantu murid-murid melihat dengan lebih jelas dan belajar dengan lebih baik selain dapat meringankan beban ibu bapa, terutamanya daripada kalangan keluarga asnaf dan berpendapatan rendah (B40).
“Inisiatif ini selari adalah dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih inklusif dan saksama di bawah visi Penang2030,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Selain bantuan cermin mata, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk tablet kepada murid sekolah rendah.
“Kerajaan Negeri melalui MAINPP telah mengagihkan sejumlah 8,740 unit tablet kepada 263 buah sekolah rendah di seluruh negeri Pulau Pinang baru-baru ini.
“Program bernilai RM6.51 juta ini bertujuan membolehkan murid-murid asnaf daripada keluarga B40 mengakses buku teks digital dengan lebih mudah,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN