Serambi PI : Sebuah puisi yang dinukil buat anggota-anggota keselamatan yang terkorban di Sabah, termasuk di Pulau Mabul dan Lahad Datu.

Admin

Oleh: Zairil Khir Johari
Pengarah Eksekutif Penang Institute merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera

Maafkan kami

Pagi lebaran ini,
Ada anak tidak lagi bersalam dengan bapanya,
Ada isteri tidak dapat bermaafan dengan
suaminya,
Ada ibu yang menangisi kehilangan,
Ada kekasih meratapi pemergian.

Pada anak yang menjadi yatim,
Isteri yang kini balu, Ibu yang walang,
Kekasih luluh jiwa, Sesungguhnya ayah,
suami, anak dan cintamu
gugur sebagai bunga bangsa,
Demi pertahan tanah air dari dinoda.

Pada anak, isteri, ibu dan kekasih yang derita,

Kami pohon maaf, Kerana ada antara kami,
Yang mengaku kononnya pejuang bangsa,
Tetapi mengkhianati pejuang negara.

Kami pohon maaf,
Kerana ada antara kami,

Atas nama rahsia negara,
Menggadai senjata semata demi harta.

Kami pohon maaf,Kerana ada antara kami,
Menjadikan musuh sebagai sekutu,
Hingga derita anak semua bangsa.

Sesungguhnya,
Ada anak tidak kehilangan ayah,
Ada isteri tiada kematian suami,
Ada ibu tetap bersenang hati,
Ada kekasih yang sentiasa bahagia,
Andainya antara kami tiada mengkhianati
amanah,
Andainya antara kami tiada rakus haloba,
Andainya antara kami tiada menjual
pertiwi demi kerusi.

Maafkan kami.