Sertai MBSP Virtual Ride 2020 dan menangi hadiah

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai MBSP Virtual Ride 2020 yang akan berlangsung dari 22 Oktober hingga 22 November 2020.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, selain menggalakkan gaya hidup sihat, program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Bandaraya itu turut menawarkan hadiah menarik kepada para peserta terlibat.

“Program ini terbuka kepada orang awam temasuk di luar kawasan Seberang Perai dan juga kakitangan MBSP untuk sama-sama menjalankan aktiviti riadah berbasikal secara sendirian atau berkumpulan di kawasan Seberang Perai.

“MBSP Virtual Ride 2020 akan diadakan secara maya yang mana penyertaan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan rasmi yang disediakan oleh MBSP.

“Peserta hanya perlu membuat tiga langkah iaitu kayuh, hantar bukti dan berpeluang menangi hadiah-hadiah menarik yang disediakan secara percuma,” katanya pada sidang media dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

Difahamkan, MBSP Virtual Ride 2020 menawarkan hadiah bagi dua kategori iaitu kayuhan jarak jauh dan kayuhan terbanyak dalam tempoh minimum 5kilometer (km).

Tempat pertama bagi kedua-dua kategori bakal memenangi hadiah berbentuk peralatan sukan bernilai RM150 manakala tempat kedua dan ketiga akan menerima peralatan sukan masng-masing bernilai RM100 dan RM50.

10 pemenang bertuah juga akan menerima hadiah peralatan sukan bernilai RM50 seorang.

Syarat-syarat penyertaan pula adalah seperti berikut :

  1. Kayuhan hendaklah di dalam tempoh masa yang ditetapkan.
  2. Kayuhan hendaklah di dalam kawaan Seberang Perai sahaja.
  3. Kayuhan setempat (treadmill) adalah tidak dibenarkan.
  4. Peserta hanya boleh menghantar rekod kayuhan sendiri dan tidak berkongsi atau menggunakan rekod kayuhan orang lain.
  5. Peserta boleh menghantar seberapa banyak bukti dan jumlah keseluruhan jarak (KM) akan dijumlahkan.
  6. Peserta perlu menghantar bukti kayuhan dalam tempoh yang dinyatakan.
  7. Keputusan Jawatankuasa Teknikal adalah muktamad.
  8. Pendaftaran di pautan: http://bit.ly/MBSPRide2020.

Malumat lanjut sila hubungi 04-549 7652 atau e-mel kepada [email protected]

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD