Zakat Pulau Pinang agih RM3.015 juta elaun tambahan guru KAFA

Admin

SEBERANG JAYA – Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengumumkan agihan RM3.015 juta elaun tambahan kepada guru-guru yang terlibat dalam program Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA) di negeri ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya amat mengambil berat dan prihatin terhadap institusi pendidikan agama khususnya sekolah agama rakyat.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

“Peruntukan (RM3.015 juta) yang disediakan oleh Zakat Pulau Pinang melalui dana bantuan agihan fi sabilillah,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam Majlis Hi-Tea Guru KAFA Pulau Pinang di Hotel Exora di sini pada 22 Oktober 2020.

Selain itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memberitahu bahawa Belanjawan 2021 Pulau Pinang yang baru diluluskan baru-baru ini antara lain meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM64.16 juta bagi tujuan pembangunan, baik pulih, penyelenggaraan serta kelengkapan institusi keagamaan di negeri ini.

Sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berharap kesemua lebih 1,500 orang guru serta penyelia KAFA dapat mempromosi amalan menunaikan zakat gaji dalam kalangan ummah terutama waris kepada hampir 47,000 murid KAFA.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS