Sia Boey bakal dilengkapi LRT bawah PIP – KM

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tapak pasar lama yang dikenali sebagai Sia Boey di tengah-tengah bandar raya George Town akan turut dilengkapi dengan kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT) demi memudahkan pengunjung ke kawasan seni dan kebudayaan unggul tersebut kelak.

“Di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP), akan diwujudkan LRT demi memudahkan (pengunjung) ke tapak warisan dan seni ini,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Pembukaan Pameran “Kelahiran Semula Sia Boey” di perkarangan pasar lama Prangin di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee.

Selepas itu, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menyaksikan majlis tandatangan antara Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Khadijah Abdul Khalid daripada Yayasan Haji Zainuddin, serta dua pihak lain.

Guan Eng memberitahu projek tersebut akan menelan kos pembiayaan berjumlah RM100 juta, termasuk RM30 juta yang akan ditaja oleh Ilham Penang.

Jelasnya, projek tersebut dijangka menjana pulangan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta kelak.

Difahamkan, PDC bersetuju memberi pajakan 30 + 30 tahun tanah berkeluasan 0.6 hektar itu kepada Yayasan Haji Zainuddin.

Sebagai balasan, Yayasan bersetuju melabur RM30 juta untuk membina dan menampung kos operasi dan penyelenggaraan sepanjang tempoh masa pajakan tersebut.

Muzium seni yang akan dibina sekurang-kurangnya 45,000 kaki persegi ruang galeri, dikira terbesar di Malaysia.

Tambah Guan Eng, muzium tersebut turut menyediakan sebuah kafe atau restoran, perpustakaan, 200 kerusi auditorium dan penyimpanan kemudahan terkini.

“Muzium ini percuma untuk kanak-kanak sekolah, manakala, orang dewasa hanya dikenakan bayaran nominal.

“Apabila siap, Ilham Pulau Pinang pasti akan pergi jauh ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi antarabangsa pilihan.

“Lebih penting lagi, pada zaman kelembapan ekonomi dan ketidaktentuan, Ilham Pulau Pinang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan semula bandar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, beliau sendiri telah mengambil perjalanan ke Southbank di London untuk menyemak Galeri Tate Modern.

“Ia (Galeri Tate Modern) pernah menjadi sebuah kawasan terbiar di mana anda akan menyaksikan rompakan atau dirompak.

“Malah, pemandu teksi tidak berani membawa anda ke tempat itu. Tetapi, hari ini, ia adalah di London.

“Ia membawa masuk semula bandar dan yang menunjukkan seni juga boleh menjadi pemangkin ekonomi dan pemandu.

“Mudah-mudahan, projek ini akan melancarkan Pulau Pinang ke dalam dimensi lain,” kata beliau.

Menurut Guan Eng lagi, Kerajaan Negeri mampu memajukan semula kawasan terbiar ‘Sia Boey’ menjadi suatu projek pembangunan komersial yang membawa pulangan GDV RM500 juta.

“Tetapi, adakah kita mahu satu lagi ‘hutan’ terbiar…kami (Kerajaan Negeri) mahu melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat dan mewujudkan pusat warisan dan seni untuk anak-anak kita,” jelasnya.

Sempena pelancaran itu, terdapat pameran awam di Pasar Prangin sehingga 13 September lalu.

Ia, bertujuan untuk meraikan masa lalu, masa kini dan masa depan Sia Boey, dengan paparan sejarah Sia Boey yang kaya dengan kenangan.} else {