Cecil Rajendra penerima Anugerah Khazanah Warisan P. Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Peguam hak asasi manusia terkenal yang juga seorang aktivis dan penyair, Cecil Rajendra, 74, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khazanah Warisan Pulau Pinang 2015 atau ‘The Living Heritage Treasure of Penang Award 2015’ di sini baru-baru ini.

Pengiktirafan itu sekaligus membolehkan beliau menerima anugerah dan ganjaran tunai dari Tabung Amanah Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT) yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama-sama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dalam satu majlis di Upper Penang Road di sini.

“Pulau Pinang pastinya berbangga dengan sumbangan dan pencapaian Cecil yang bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga jiwa bangsa yang mengingatkan semua bahawa kita perlu berdiri teguh sebagai satu entiti jika mahu negara maju ke hadapan.

“Figura seperti Pak Samad dan Cecil memainkan peranan yang penting dalam perkembangan karya sastera dan juga aktiviti aktivisme hak asasi manusia bukan sahaja dalam negara, malah turut dimartabatkan di persada antarabangsa,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Anugerah PHT Khazanah Warisan Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, para panel hakim Datuk Sharom Ahmat, Datuk Anwar Fazal, Hamdan Majeed, Laurence Loh dan Ho Sheau Fung.

Dalam majlis sama, Guan Eng turut menyerahkan cek tunai berjumlah RM2,000 kepada tujuh penerima Anugerah Khazanah Warisan Pulau Pinang terdahulu antaranya N.B. Samarasena (pakar jauhari), Sim Buck Teik (pakar anyaman rotan), Ooi Sew Kim (pemilik kumpulan boneka Hokkien) dan Wan Dee Aroonratana (pakar kebudayaan Thai Menora).

Pak Samad turut mendeklamasikan sajak istimewa buat tetamu yang hadir pada majlis berkaitan.

Cecil dilahirkan di Pulau Pinang dan mendapat pendidikan di Institusi St. Xavier sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Singapura seterusnya ke Lincoln’s Inn, London dalam bidang perundangan.

Mendapat jolokan ‘The Lawyer-Poet’, Cecil juga pernah menerima Anugerah Kemanusiaan Sepanjang Hayat Malaysia (The Malaysian Lifetime Humanitarian Award) dan dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel dalam bidang Kesusasteraan.