Sidang DUN khas wanita, beri pendedahan sebagai wakil rakyat sebenar

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) buat julung kalinya bakal menganjurkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas untuk wanita pada 17 Oktober 2020.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, program Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 itu dirangka khusus untuk mencungkil bakat para wanita daripada pelbagai latar belakang dan diberikan pendedahan berkaitan tugas wakil rakyat.

“Peserta program akan menimba pengalaman sebagai pemimpin yang mewakili konstituensi masing-masing dan memperoleh pendedahan tentang perjalanan persidangan DUN sebenar.

“Mereka diberi peluang membahaskan isu serta mengetengahkan idea bukan sahaja mengenai penglibatan masyarakat dalam hal kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita tetapi paling penting adalah untuk membina kepimpinan wanita dalam aspek pembangunan negeri dan tadbir urus yang baik.

“Program ini juga selaras dengan Visi Penang2030 yang menekankan pemerkasaan warga Pulau Pinang demi memperkukuhkan penyertaan rakyat,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; ADUN Bukit Tambun, Goh Chook Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani serta Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng.

Difahamkan, program Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 akan dijalankan dalam tiga fasa iaitu Fasa 1 melibatkan Jelajah Daerah, Bengkel Persediaan (Fasa 2) manakala Sesi Simulasi Sidang DUN (Fasa 3).

Mengulas lanjut, Chong Eng menjelaskan bahawa seramai 40 peserta wanita akan dipilih melalui tapisan terperinci untuk diberikan peranan sebagai wakil rakyat bagi membawa dan membahaskan isu-isu di kawasan DUN masing-masing.

“Hasil daripada persidangan ini akan didokumentasikan dan dibawa ke pejabat saya (Exco Pembangunan Wanita) untuk penelitian dan tindakan selanjutnya jika berkaitan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Kasthuriraani memberitahu bahawa sebanyak 2,000 surat jemputan dikeluarkan oleh PWDC kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), kolej-kolej universiti serta agensi dan jabatan-jabatan kerajaan di seluruh negeri.

Sehingga kini, pihaknya telah menerima kira-kira 422 maklum balas yang mana mereka akan terlibat dalam program Jelajah Desa yang dijadualkan pada 5 dan 6 September ini di setiap daerah di negeri ini.

“Oleh itu, saya harap lebih ramai wanita tanpa mengira latar belakang politik, sosial dan pekerjaan akan tampil ke hadapan untuk mengambil cabaran ini bagi meningkatkan jumlah wakil rakyat wanita sama ada di DUN atau parlimen,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI