Sidang Muda platform kenal perjalanan DUN, pentadbiran dan politik semasa

Admin
322a7dd5 f63e 401e 93f4 d8a0c0186169

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa Sidang Muda Kali Ke-12 tahun ini mempu menjadi platform terbaik kepada generasi muda mendalami perjalanan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, selain mempelajari perjalanan mesyuarat (DUN) tersebut, ia turut memberi pendedahan, pengetahuan tentang pentadbiran dan politik semasa.

“Sidang Muda mampu memberi satu pengalaman yang baik kepada generasi muda untuk sekurang-kurangnya tahu perjalanan DUN, persiapan barisan Exco, pembangkang dan ‘backbenchers’ dalam persidangan penting berkaitan.

“Kalau merujuk kepada perjalanan karier politik saya, pada tahun 2008 semasa dilantik sebagai Exco, saya juga mula belajar sungguhpun sudah menjadi wakil rakyat sejak tahun 1990,” ujarnya ketika menerima kunjungan hormat delegasi Sidang Muda Ke-12 di pejabatnya di sini sebentar tadi.

Turur hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dan Timbalan Pengurusan Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Charlene Ong Ching Shi.

Pada sesi tersebut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut memberi taklimat mengenai perjalanan karier politik sepenuh masa beliau.

e4991e97 883f 431a 8e12 6b86c3984f7d

“Saya menghargai peluang yang telah diberikan oleh pengundi-pengundi dan rakyat untuk berada di posisi yang ada pada hari ini selepas berjuang dalam politik hampir 40 tahun.

“Secara ringkasnya, Ketua Menteri bertanggungjawab atas segalanya-galanya, tidak ada skop spesifik, baik isu tempatan bandar raya, negeri, Persekutuan ataupun antarabangsa.

“Ini termasuk iklim, cuaca, berserta portfolio saya, juga perlu ada pengetahuan-pengetahun lain sebab biasanya media akan tanya dan saya perlu sedia untuk menjawab,” jelasnya lagi.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut sempat memberikan penerangan mengenai hasil negeri, perindustrian dan masa depan Pulau Pinang.

Difahamkan, Sidang Muda merupakan program tahunan anjuran PYDC sejak tahun 2015. Program  berkaitan merupakan satu siri latihan dan bengkel latihan pendemokrasian yang bertujuan untuk menekankan nilai kesedaran sivik, demokrasi dan kewarganegaraan dalam kalangan belia.

Matlamat besar Sidang Muda adalah untuk melahirkan generasi muda yang celik politik dan sedar akan peranan serta tanggungjawab mereka dalam demokrasi. Sebagai sebuah entiti yang bebas dari parti politik, Sidang Muda berhasrat untuk membentuk golongan muda Malaysia yang lebih aktif dalam politik dan hal ehwal pemerintahan negara.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD