Sikap suka mendengar bentuk corak kepimpinan Kon Yeow mengemudi negeri

Admin
img 20251031 wa0065

GEORGE TOWN – “Saya tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang politik atau menjadi wakil rakyat, apatah lagi memimpin sebuah negeri.”

Itu yang dikongsikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam program Bicara Alumni anjuran Pusat Pembangunan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa dekat sini sebentar tadi.

img 20251031 wa0077img 20251031 wa0079

Tampil sebagai salah seorang panel pada program tersebut, Kon Yeow turut berkongsikan pengalaman perjalanan hidup beliau daripada seorang mahasiswa biasa sehingga menjadi Ketua Menteri di negeri Pulau Pinang.

“Jika anda bertanyakan kepada kawan-kawan saya semasa di USM dahulu sama ada mereka menjangka saya akan menjadi seorang pemimpin politik, mereka pastinya terkejut.

“Ini kerana pada ketika itu saya hanyalah seorang pelajar biasa yang sangat pendiam tanpa ada cita-cita politik yang jelas,” katanya ketika membuka bicara dalam program yang menampilkan pengacara, penerbit, penulis lirik dan penyampai radio popular, Ahmad Fedtri Yahya sebagai moderator.

Namun begitu, Kon Yeow memberitahu bahawa minat yang mendalam terhadap isu-isu sosial telah membawa dirinya memilih jurusan Sains Kemasyarakatan dengan pengkhususan dalam bidang Sosiologi.

“Walaupun saya mempunyai minat terhadap isu politik sejak di sekolah menengah lagi, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli politik.

“Namun, pengajian di USM telah memperkukuh lagi minat saya dalam politik dan seterusnya membuka laluan untuk saya berkhidmat dalam sektor awam,” ujarnya.

img 20251031 wa0061img 20251031 wa0075img 20251031 wa0073img 20251031 wa0074img 20251031 wa0072img 20251031 wa0068

Selepas menamatkan pengajian, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di The National Echo, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Tanjong ketika itu, Lim Kit Siang.

Sejak itu, beliau kekal aktif dalam dunia politik selama hampir 40 tahun.

Beliau menambah bahawa nilai kepimpinan yang diasah sejak di USM iaitu sedia mendengar dan bersikap terbuka masih menjadi prinsip yang diamalkan hingga kini.

“Satu-satunya profesion saya ialah politik, dan dari sinilah saya belajar untuk sentiasa mendengar, merendah diri dan menghargai pandangan yang berbeza.

“Sama ada mendengar pandangan rakyat biasa, pemain industri atau ahli akademik, saya percaya seorang pemimpin tidak semestinya harus selalu bercakap tetapi perlu banyak mendengar dan memahami.

“Inilah corak kepimpinan yang saya amalkan, dan saya rasa ia membolehkan saya bertahan hampir 40 tahun dalam arena politik,” ulasnya.

Menyentuh soal sumbangan semula kepada alma mater, beliau menyeru para alumni agar memanfaatkan sumber dan rangkaian masing-masing untuk memperkukuh hubungan antara universiti serta industri.

“Sebagai alumni, tidak kira di mana anda berada, anda boleh menjadi jambatan antara alma mater dan dunia industri.

“Contohnya, alumni dalam bidang korporat boleh bekerjasama dengan USM untuk memperkenalkan program keusahawanan kepada pelajar atau menyelaras kursus agar lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja,” serunya.

Beliau turut menegaskan bahawa USM bukan sekadar institusi akademik, tetapi juga pusat penting dalam melahirkan bakat dan inovasi di Pulau Pinang.

“Dengan ekosistem industri yang kukuh, USM memainkan peranan utama dalam membekalkan sumber tenaga mahir kepada negeri ini,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana beliau mengekalkan stamina bagi menghadapi jadual padat, Kon Yeow bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik walaupun sudah memasuki usia emas.

“Saya sudah dalam kategori warga emas, namun bersyukur kerana masih sihat.

“Bukan sekadar kesihatan fizikal, tetapi semangat dan sikap juga penting.

“Selagi ada semangat perjuangan dan kepuasan melihat rakyat mendapat manfaat, itulah tenaga yang mendorong saya terus berkhidmat,” ujarnya dalam nada mesra.

img 20251031 wa0071img 20251031 wa0063

Kon Yeow menutup sesi bicara dengan menyatakan harapan untuk terus membawa perubahan positif kepada negeri dan rakyat.

“Hayat politik diukur mengikut penggal, dan saya berharap setiap penggal yang saya pimpin dapat meninggalkan hasil yang positif,” jelasnya.

Dalam sesi sama, Kon Yeow turut menjawab soalan yang diajukan oleh mahasiswa mengenai inisiatif Kerajaan Negeri menguruskan haiwan terbiar serta cabaran dalam pengurusan air di negeri Pulau Pinang.

Selain Kon Yeow, dua lagi panel ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Mohd. Faiz Azmi yang turut berkongsi pengalaman perjalanan hidup masing-masing.

Sementara itu, Naib Censelor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed FASc turut merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana sudi hadir dan menunjukkan sokongan kepada dunia pendidikan dan akademik.

Beliau juga berterima kasih kepada Pusat Pembangunan Alumni USM dan semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut, serta berharap platform seperti itu akan terus diperluaskan bagi mengukuhkan sumbangan alumni ke arah kecemerlangan USM.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS