Silat sebagai instrumen bina jati diri, penghormatan dan bermaruah – TKM I

Admin
bdad66f9 e64f 4cc3 807d 9e330ea51207

SEBERANG JAYA – Pada era globalisasi, silat bukan sekadar seni mempertahankan diri semata-mata, malah menjadi instrumen penting sebagai pelengkap jati diri, penghormatan, disiplin dan keberanian dalam kalangan anak muda.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, silat juga merupakan lambang ketinggian tamadun Melayu yang merangkumi aspek fizikal, mental, spiritual dan nilai moral.

“Setiap gerak langkahnya, tersirat falsafah kehidupan yang disulami dengan adat, adab dan semangat perjuangan yang diwarisi turun-temurun.

“Dalam dunia moden yang penuh cabaran ini, silat menjadi salah satu alat penting dalam membina jati diri anak muda.

“Ia melatih disiplin, keberanian, hormat kepada guru dan lawan, serta semangat bermaruah dengan nilai-nilai yang makin terhakis,” ujarnya pada Majlis Perasmian Penang Junior’s Silat Championship National Open 2025 Mamu Aziz Cup 2.0 dekat Dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pematang Pauh di sini petang tadi.

81aebad4 2242 421a 82f4 24d4ebc20fc3

Kejohanan berlangsung bermula semalam hingga 28 Jun ini dengan menghimpunkan 956 persilat muda dari seluruh Malaysia dan pasukan Indonesia.

9b3ff20d 4c69 4b7f b4c2 372866d090d2

Hadir sama, Ahli Dewan Negera, Senator Amir Ghazali; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Harry Chai Heng Hua; Pemilik Route 69 selaku penaja, Abdul Aziz Shaikh Ahmad dan dif-dif jemputan yang lain.

Lebih membanggakan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa pada tahun 2019, silat telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage of Humanity).

Tambahnya, pengiktirafan tersebut bukan sahaja dapat memartabatkan lagi seni warisan kita, malah mengangkat silat ke pentas antarabangsa sebagai khazanah dunia yang mesti dipelihara dan dikembangkan oleh generasi kini dan akan datang.

“Maka, penganjuran kejohanan ini bukanlah satu acara biasa kerana ia mempunyai objektif dan matlamat yang jelas.

“Antara adalah untuk mencungkil dan menggilap bakat pesilat muda dari seluruh Malaysia dan luar negara, memperkukuh struktur pembangunan silat di peringkat akar umbi dan memupuk semangat kesukanan, jati diri serta perpaduan melalui seni bela diri warisan bangsa.

“Kejohanan ini juga menjadi platform membina jaringan kerjasama antara kelab, jurulatih dan agensi berkaitan, di samping memberi pendedahan awal kepada pesilat muda mengenai suasana pertandingan kebangsaan sebagai persiapan ke tahap lebih tinggi,” ulasnya lanjut.

Mohamad dalam pada itu memberitahu, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran program pembangunan belia dan sukan tradisi seperti seni silat.

“Usaha ini juga amat bertepatan dalam memperkukuh kekuatan sahsiah generasi muda dan menyemai semangat jati diri yang utuh juga seiring dengan matlamat Visi Penang2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan masyarakat beridentiti kukuh, berdaya tahan dan seimbang dari segi fizikal dan intelektual,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR