Siling baharu LRT Laluan Mutiara ambil kira pasaran semasa, tambahan skop projek

Admin
whatsapp image 2025 08 21 at 14.07.51

GEORGE TOWN – Siling baharu berjumlah RM16.8 bilion yang ditetapkan bagi projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara adalah disebabkan keadaan pasaran semasa termasuk kos pengambilan tanah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa siling baharu tersebut juga ditetapkan selepas mengambil kira penambahan skop projek serta laluan LRT Laluan Mutiara yang disambungkan sehingga ke Penang Sentral, Butterworth.

“Kos baharu bagi LRT Laluan Mutiara tidak boleh dibandingkan dengan semasa pengumuman dibuat pada dua tahun lepas kerana skop projek ini sudah bertambah.

“Setelah projek ini diambil alih oleh pihak Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), laluan LRT dipanjangkan ke Butterworth dan ini sudah semestinya akan melibatkan kos-kos bagi tambahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan fasiliti perubatan baharu Icon Sunsuria dan Pusat Kanser Island Hospital dekat sini sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow memberitahu bahawa kos sebenar bagi LRT Laluan Mutiara hanya boleh diketahui selepas kontrak bagi keseluruhan projek ditawarkan kelak.

“Saya percaya siling baharu ini cuma indikatif sahaja kerana setakat ini penawaran hanya dibuat untuk Pakej 1 iaitu melibatkan kerja-kerja struktur awam dari Pulau Silikon ke Komtar.

“Bagi Pakej 2 (sambungan dari Macallum ke Penang Sental), kerja struktur awam dan sistem masih belum ditawarkan, jadi kos sebenar hanya akan diketahui selepas kontrak ditawarkan sepenuhnya,” ujarnya sambil menambah bahawa kos bagi pengambilan tanah-tanah milik kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri untuk projek LRT Laluan Mutiara adalah ditawarkan pada harga lama dan bukannya mengikut pasaran semasa.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan had bajet bagi projek LRT Laluan Mutiara berbeza daripada RM10 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata, angka terdahulu itu hanyalah unjuran awal yang tidak mengambil kira latihan pengurusan nilai serta penilaian nilai. Ia merupakan pendekatan berstruktur yang digunakan untuk menambah baik nilai sesuatu projek dan sering digunakan dalam projek berskala besar bagi memastikan hasil terbaik kepada semua pihak berkepentingan.

Namun begitu, Siew Fook menjelaskan bahawa jumlah siling tersebut bukanlah kos akhir keseluruhan projek, sambil menambah bahawa kerajaan masih belum menganugerahkan pakej kerja kedua dan ketiga.

“Siling ini ditetapkan lebih tinggi daripada keperluan sebenar, tetapi kita akan cuba mengurangkan kos melalui tender terbuka,” katanya di Parlimen semasa penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RM13) pada Isnin lalu.

Sebagai rekod, Pakej 1 projek LRT Laluan Mutiara adalah membabitkan jajaran sepanjang 24 kilometer dari Komtar ke Pulau Silikon, dengan 19 stesen dan kerja-kerja sokongan.

Laluan Mutiara akan merangkumi 29.5 kilometer dengan 21 stesen dari Pulau Silikon ke Komtar dan merentasi ke Penang Sentral di Butterworth.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN