BAYAN LEPAS – Latihan Kecemasan Ex-Harimau Kumbang melibatkan simulasi pesawat terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas disifatkan sebagai berjaya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Nermaljit Singh Bakthtawar Singh, latihan itu penting bagi menguji tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan koordinasi antara agensi, khususnya dalam menghadapi situasi seperti yang pernah berlaku di luar negara.
“Latihan ini dijalankan setiap dua tahun untuk berdepan senario terhempas dan sekali setahun untuk keselamatan lapangan terbang bagi memastikan keselamatan operasi serta laluan penerbangan berada pada tahap yang terbaik.
“Latihan kecemasan simulasi pesawat terhempas di LTAPP kali ini melibatkan 28 agensi bersamaan 550 nggota dan boleh dikatakan berjaya, sepanjang tempoh 10 pagi hingga 11 pagi, tiada pergerakan pesawat dibenarkan di lapangan terbang bagi memastikan kelancaran latihan.

“Senario latihan melibatkan sebuah pesawat membawa 134 penumpang, termasuk kru terhempas di landasan dan menyebabkan lima kematian membabitkan juruterbang dan kru penerbangan.
“Mngsa lain pula diklasifikasikan berada pada tahap kategori merah, kuning dan hijau berdasarkan tahap kecederaan,” ujar belia juga merangkap komander simulasi latihan tersebut dalam satu sidang media di LTAPP sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Operasi Malaysia Airport Berhad (MAB) LTAPP, Mohd. Ridzuan Ahmad Walid dan Komander Bomba LTAPP, Noor Azirul Hafiz Maanor.
Dalam memastikan kelancaran simulasi, Azirul Hafiz memaklumkan pihaknya turut mengeluarkan notice of airmen (NOTAM) berkenaan rintangan di kawasan terlibat (landasan) lebih awal kepada juruterbang agar tidak menjejaskan keselamatan.
Mohd Ridzuan dalam pada itu menyatakan komitmen pihaknya untuk terus memperkasakan corak latihan dan menyelaras maklumat secara berkesan antara agensi bagi menjayakan latihan seumpama ini.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : UTUSAN