Sinergi kerajaan, anda tidak bersendirian

img 20251009 wa0001

HARI Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober setiap tahun sebagai usaha global meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan mental.

 

 

 

Di Pulau Pinang, sambutan peringkat negeri diadakan pada 26 Oktober 2025 di perkarangan Klinik Kesihatan Air Putih, Balik Pulau yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosikan kesihatan mental.

 

 

 

Tahun ini, tema sambutan adalah ‘Akses kepada Perkhidmatan: Kesihatan Mental dalam Krisis dan Bencana’, yang menekankan keperluan rawatan sewajarnya terutama ketika berdepan kecemasan, krisis mahupun bencana.

 

 

 

Seiring usaha itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Exco Belia, Sukan dan Kesihatan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Kesihatan Mental bagi memperkukuh usaha menangani isu kesihatan mental di negeri ini.

 

 

 

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, DANIEL GOOI ZI SEN berkata, jawatankuasa kecil tersebut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah satu sinergi yang mana JKNPP bertindak selaku urus setia.

 

 

 

Selain jalinan kerjasama agensi kerajaan, kata Zi Sen lagi, Pulau Pinang amat bertuah kerana mempunyai banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang sangat proaktif dan dedikasi terhadap isu kesihatan mental.

 

 

 

“Maka melalui Jawatankuasa Kecil Kesihatan Mental ini, kita dapat menyelaraskan kerjasama antara kerajaan dan NGO untuk memperluas capaian sokongan kepada masyarakat,” katanya.

 

whatsapp image 2025 10 09 at 15.50.05
DANIEL Gooi Zi Sen.

 

Beliau berkata demikian ketika hadir ke wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI dan jurugambar, LAW SUUN TING baru-baru ini. Turut sama, sukarelawan dari organisasi yang menyediakan perkhidmatan sokongan emosi dan talian bantuan 24 jam, Befrienders.

 

 

 

Menurut Zi Sen, antara agenda utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada peringkat nasional adalah mewujudkan Komuniti Minda Sejahtera atau ‘K-MindSet’ yang melatih sukarelawan untuk menjadi ejen perubahan bagi perkukuhkan kesihatan mental dalam komuniti dengan menyebarkan mesej positif dan memberi sokongan awal psikologi.

 

 

 

Selain itu, penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) juga memperkukuh sistem kesihatan mental melalui pendekatan yang lebih terancang dan bersepadu dalam aspek advokasi, penyelidikan, peruntukan serta pembangunan komuniti.

 

 

 

“Pada peringkat negeri, kita juga bergerak secara proaktif dengan kerjasama NGO dengan menumpukan kesejahteraan kumpulan berisiko menghadapi isu kesihatan mental,” ujarnya.

 

 

 

Bercakap mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau ‘chatbot’ sebagai perantara awal atau ‘teman bicara’ sokongan saringan kesihatan mental, Zi Sen mengakui bahawa ia merupakan suatu peluang besar untuk meluaskan capaian perkhidmatan kesihatan mental.

 

 

 

Contohnya aplikasi ‘MyMinda’ dalam MySejahtera turut menggunakan teknologi AI dan digital bagi mendapatkan maklumat awal dan sokongan psikososial asas.

 

 

 

“Walau bagaimanapun, aspek keselamatan data dan kerahsiaan; kandungan maklumat dan integrasi dengan perkhidmatan sedia ada mestilah dijamin sepenuhnya,” jelasnya.

 

 

 

Beliau menegaskan bahawa ‘chatbot’ bukanlah pengganti profesional kesihatan mental, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap untuk memperluas capaian perkhidmatan.

 

 

 

Kita sedar bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat berasa segan, takut atau malu untuk mendapatkan rawatan kerana stigma.

 

 

 

“Di sinilah platform digital berasaskan AI ini memainkan peranan sebagai “teman bicara” pertama yang mesra, mudah diakses, serta beroperasi 24 jam sehari sebelum dirujuk kepada pakar atau perkhidmatan klinikal sekiranya diperlukan,” katanya.

 

 

 

Sebelum mengakhiri bicara, Zi Sen menyeru semua pihak agar terus memberi perhatian terhadap kesihatan mental dan bersama-sama berganding bahu menghapuskan stigma yang masih menebal dalam masyarakat.

 

 

 

“Setiap individu perlu tahu bahawa mereka tidak bersendirian, you’ll never walk alone kerana bantuan sentiasa ada, jangan malu atau segan untuk mendapatkan sokongan.

 

 

 

“Kesihatan mental adalah tanggungjawab bersama dan usaha ini memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk NGO dan akademia,” tegasnya.