BUTTERWORTH — Program SIRAT Mukmin 2025 berjaya menghimpunkan lebih 1,200 belia India Muslim di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena sekali gus menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Himpunan Belia India Muslim Terbesar di Malaysia’.
Program itu berperanan sebagai platform pembangunan belia yang memberi tumpuan kepada dialog terbuka, perkongsian pandangan serta pengukuhan peranan generasi muda dalam komuniti.

Segmen ‘Voices of Youth‘ menampilkan beberapa panelis muda, termasuk Shameera Nasreen Ahamed Noordeen, yang berkongsi pengalaman mengenai cabaran dan potensi belia India Muslim serta keperluan menyediakan ruang yang inklusif bagi memastikan belia terus terlibat dalam pembangunan komuniti.
Dalam majlis sama, Shameera Nasreen turut menerima pengiktirafan melalui ‘Youth Icon Awards‘ yang memperakui pencapaiannya dalam kepimpinan dan pembangunan masyarakat pada peringkat nasional mahupun antarabangsa seperti ASEAN Youth Dialogue, Democracy Youth Summit Japan serta pelbagai program diplomasi belia.

Dengan penyertaan memberangsangkan serta pengisian program yang signifikan, program SIRAT Mukmin 2025 anjuran Majlis Ukhuwah India Muslim Nasional (Mukmin) dan Muslim Youth Club (MMYC) dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh identiti serta memperkasa peranan belia India Muslim di Malaysia.