GEORGE TOWN – Daerah Seberang Perai Utara (SPU) mencatatkan pengurangan populasi khinzir hampir 50 peratus pada tahun 2025, iaitu sebanyak 61,554 ekor berbanding 111,723 ekor pada tahun 2024.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, berdasarkan data terkini 2025, terdapat 101 ladang khinzir berbanding 106 ladang pada 2024 yang mana kesemua ladang tersebut menggunakan Sistem Kandang Tertutup dengan pemantauan berkala Biological Oxygen Demand (BOD).
“Malah, bagi kawalan bau, UMAS atau Useful Microbes Activated Solutionditeruskan secara mingguan,” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas pada 19 November 2025.
Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, dalam usaha menangani isu pencemaran, Kerajaan Negeri telah menggembleng sumber melalui pendekatan whole-of-government dan whole-of-society yang melibatkan pelbagai pihak.
“Syarikat HRB Q Tech Sdn. Bhd. telah melaksanakan kajian perintis di dua ladang di Kampung Selamat (Seberang Perai Selatan, SPS) sejak Jun lalu dan setakat ini, bacaan BOD adalah di bawah 50ppm (parts per million) selepas kerja pembersihan kolam.
“Jika pematuhan gagal dicapai, Timeless Green Sdn. Bhd. akan mengambil alih (rawatan air sisa tersebut) berdasarkan kejayaan terbukti di Kampung Valdor sebelum ini,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) turut memperkukuh pelaksanaan rawatan air sisa.
“Air sisa dialirkan ke kolam rawatan NAHRIM untuk proses penyahcemaran sebelum kembali ke sungai secara terkawal,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan bahawa NAHRIM menguruskan rawatan air sisa pada peringkat akhir, manakala syarikat HRB Q Tech Sdn. Bhd. dan Timeless Green Sdn. Bhd. menumpukan pembersihan 13 kolam serta pengurusan sisa ladang.
Jelas Fahmi, pendekatan ini mencerminkan pelaksanaan ‘whole-of-government, whole-of-society’ yang mana segala sumber digembleng dan tiada pihak yang berlepas tangan.
Usai sesi penggulungan, Fahmi ketika ditemui memberitahu bahawa syarikat HRB Q Tech Sdn. Bhd. kini sedang menjalankan kajian pengurusan sisa Najis khinzir di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
“Ada juga syarikat lain datang menawarkan diri untuk menyelesaikan isu ini, tetapi kita akan menelitinya dengan lebih terperinci.
“Syarikat Timeless Green Sdn. Bhd. pula mencadangkan agar sisa di Kampung Selamat dibawa ke Valdor untuk diproses menggunakan pemprosesan biogas.
“Namun, cadangan tersebut akan melibatkan kos yang tinggi dan penternak perlu menanggung kos tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi menjangkakan penyelesaian secara menyeluruh membabitkan isu pencemaran dan pengurusan sisa ladang mampu dicapai dalam masa setahun, paling awal.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan bahawa sehingga November 2025, sebanyak 10 kompaun bernilai RM60,000 telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang bagi pelanggaran Enakmen Penternakan Babi 2016.
Malah, katanya, aduan yang diterima juga semakin berkurangan, menunjukkan bahawa usaha Kerajaan Negeri bukan sekadar terakam dalam laporan tetapi benar-benar dilihat dan dirasai rakyat.