Sistem parit Kg. Datok distruktur semula

Admin

BERTAMPenstrukturan semula sistem peparitan di Kampung Datok di sini bakal menyelesaikan masalah limpahan air yang acapkali berlaku terutama ketika musim hujan.

Jurutera Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran Seberang Perai Utara (JPSSPU), Saiful Rizan Sanusi berkata, ekoran masalah yang dihadapi, pihaknya akan memohon Jabatan Kerja Raya Negeri untuk menstruktur semula parit di sini.

“Kawasan di sini rendah dan sistem aliran air juga tidak memuaskan dan lancar.

“Takungan air terutama di hadapan Balai Polis Trafik Kepala Batas kini jadi tempat pembiakan nyamuk, justeru, kita akan mohon agar tindakan penstrukturan semula diambil bagi kesenangan penduduk di sini,’’ jelasnya kepada Ketua Menteri sempena Program Mesra Rakyat di Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Selain delegasi Ketua Menteri dan pimpinan negeri, turut serta dalam lawatan rasmi tersebut adalah Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara, Hakmal Effendi Ishak; Penghulu-penghulu Daerah dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri Bertam.

Sementara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika ditemui ternyata berpuas hati dengan penerimaan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.

“Saya berpuas hati dan gembira dengan sokongan yang diberikan oleh penduduk di Parlimen Kepala Batas.

“Penerimaan dan kerjasama mereka kini lebih utuh dan lebih meyakinkan,” ujar Guan Eng di akhir lawatan beliau ke Parlimen Kepala Batas baru-baru ini.