Jangan mudah melatah dengan laporan akhbar

Admin

PENAGAKetua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengingatkan warga Pulau Pinang khususnya penduduk desa agar tidak mudah melatah dengan laporan sesetengah akhbar arus perdana yang suka memutar belit fakta dan menabur fitnah ke atas pentadbiran Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, laporan sedemikian bersifat berat sebelah dan menghukum bukan sahaja pentadbiran Kerajaan Negeri, malah, rakyat Pulau Pinang amnya.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah ada satu dasar yang jelas (dalam pentadbiran).

“Kita harap rakyat pun tahu apa yang benar apa yang salah, tidak mudah tertipu, ada banyak fitnah dilemparkan,” ujar Guan Eng ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Lesen Menduduki Sementara (TOL) kepada 18 penerima dan penyampaian cek-cek zakat kepada asnaf berserta sumbangan hamper kepada fakir miskin di sini.

Guan Eng menyatakan bahawa setelah Pakatan Rakyat (PR) memegang tampuk pemerintahan negeri Pulau Pinang, banyak yang telah dilakukan antaranya program-program berkebajikan dan bantuan kepada rakyat.

“Kita (Kerajaan Negeri) tetap akan beri (bantuan) berdasarkan keperluan kepada rakyat dan tidak akan menghukum rakyat semata-mata untuk kepentingan diri,” ujarnya

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Penaga, Rosidi Hussain kerana sering mengadakan programprogram penerangan dan kemasyarakatan bersama masyarakat desa di sini.

Serentak itu, Guan Eng turut merasmikan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga di sini.

Kerajaan Negeri telah mensasarkan enam unit PPS ditubuhkan bagi setiap kawasan DUN bagi memastikan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang selamat untuk didiami