Sistem ternakan ikan talapia sistem bioflok jana pendapatan MPKK Bandar Perda

Admin
img 20260623 wa0041

DALAM usaha memperkasakan ekonomi komuniti dan memperkenalkan kaedah pertanian moden yang lebih lestari, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Perda tampil dengan inisiatif projek ternakan ikan tilapia merah menggunakan sistem bioflok.

Projek yang diterajui Pengerusi MPKK Bandar Perda, MEGAT MOHD. KHAIRULNIZAM MEGAT JAAFAR itu bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat, malah menjadi contoh bagaimana teknologi moden mampu dimanfaatkan pada peringkat komuniti.

img 20260623 wa0033
Megat Mohd. Khairulnizam Megat Jaafar.

Megat Mohd. Khairulnizam berkata penternakan ikan menggunakan sistem bioflok semakin mendapat perhatian di Malaysia kerana kecekapan serta keberkesanannya dalam meningkatkan hasil ternakan dengan kos yang lebih rendah.

“Bioflok merupakan satu teknologi yang menggunakan kitaran nutrien untuk mengekalkan kualiti air dan mengurangkan keperluan pertukaran air secara kerap.

“Bioflok merupakan sistem yang terdiri daripada gabungan bakteria, alga, protozoa dan bahan organik yang turut berfungsi sebagai sumber makanan semula jadi kepada ikan,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui di Dewan MPKK Bandar Perda dekat sini pada 19 Jun lalu.

img 20260623 wa0043

Teknologi tersebut mula digunakan secara komersial di Amerika Tengah sebelum berkembang ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Brazil, Israel dan Itali.

Salah satu kelebihan utama sistem bioflok ialah sifatnya yang mesra alam kerana tidak mencemarkan sumber air serta mempunyai tahap biosekuriti yang tinggi.

Selain itu, teknologi tersebut juga dapat meningkatkan kecekapan penggunaan tanah dan air serta tidak memerlukan infrastruktur yang mahal.

Penggunaan bioflok juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ikan komersial kerana mikroorganisma yang terbentuk di dalam kolam boleh menjadi sumber makanan tambahan kepada ikan.

Bermula dengan pelaburan RM50,000

Menurut Megat Mohd. Khairulnizam, projek yang dilaksanakan oleh MPKK Bandar Perda itu bermula dengan pelaburan awal sebanyak RM50,000 melibatkan enam buah tangki ternakan yang kini sedang beroperasi.

Menurutnya, sistem bioflok yang digunakan dibina menggunakan kerangka tin atau kepingan zink sebagai dinding sokongan luar dan dilapisi dengan kanvas PVC kalis air di bahagian dalam.

Katanya, tangki yang digunakan mampu menampung antara 1,500 hingga 3,000 ekor ikan bergantung kepada saiz kolam.

img 20260623 wa0031

 

Tambahnya lagi, projek tersebut dilaksanakan secara gotong-royong dengan kerjasama komuniti setempat dan dipantau oleh seorang penyelaras yang dilantik khas.

“Bagi meningkatkan aspek keselamatan, kami memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain dibantu oleh 12 ahli jawatankuasa MPKK yang sentiasa memantau perjalanan projek ini,” katanya.

Beliau yang juga seorang peniaga berkata, penglibatannya dalam bidang pertanian bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini beliau turut mengusahakan beberapa projek pertanian termasuk tanaman tembikai susu.

Menimba ilmu sebelum mulakan projek

Sebelum projek dilaksanakan secara serius, pihak MPKK Bandar Perda telah menghadiri kursus berkaitan sistem bioflok di Negeri Sembilan selain mengadakan lawatan ke beberapa projek yang telah berjaya dilaksanakan.

“Selepas itu, kami menyediakan kertas kerja dan mengadakan perbincangan bersama komuniti setempat dan selepas mendapat persetujuan, projek ini mula dilaksanakan pada April lalu,” jelasnya.

Megat Mohd. Khairulnizam memberitahu bahawa pembinaan kolam dan pemasangan sistem pengudaraan berterusan mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum benih ikan tilapia merah dimasukkan pada bulan ketiga.

Katanya, projek tersebut turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Sasaran hasil

Bagi pusingan pertama, MPKK Bandar Perda menjangkakan pengeluaran antara 2.8 hingga tiga tan ikan tilapia merah dalam tempoh kira-kira 100 hari.

“Ikan tilapia merah memerlukan sekitar 100 hari untuk mencapai saiz matang dengan berat kira-kira 350 gram seekor.

“Justeru, kami menjangkakan pulangan sekitar RM48,000 bagi fasa pertama ini,” katanya.

img 20260623 wa0029

Walaupun pulangan awal dilihat masih belum dapat menampung keseluruhan modal yang digunakan, beliau yakin keuntungan akan mula diperoleh pada pusingan seterusnya apabila kos pembinaan dan infrastruktur tidak lagi ditanggung.

Dari segi pemasaran pula, pihak MPKK telah mengenal pasti pengedar sebelum projek dimulakan bagi memastikan hasil ternakan dapat dipasarkan dengan lancar.

Menurut beliau, ikan tilapia merah mempunyai permintaan yang baik khususnya dalam kalangan masyarakat Cina dan India yang gemar mendapatkan bekalan ikan segar.

“Antara kelebihan ikan yang diternak melalui sistem bioflok ialah tidak mempunyai bau selut seperti ikan yang diternak dalam kolam tanah.

“Saya berani memberi jaminan terhadap kualiti ikan ini, jadi mana-mana pihak yang ingin melihat sendiri hasilnya, kami sedia memasak ikan tersebut untuk mereka merasai sendiri kualiti yang dihasilkan,” katanya.

Manfaat kepada komuniti

Megat Mohd. Khairulnizam berkata, projek tersebut memberi pelbagai manfaat kepada komuniti terutama dari sudut ekonomi dan peluang menjana pendapatan.

Menurutnya, sistem bioflok boleh dilaksanakan sama ada dalam skala kecil atau besar mengikut kemampuan dan kesesuaian individu.

“Projek ini juga boleh dijalankan di rumah kerana tidak memerlukan kawasan yang luas selain lebih mesra alam dan mampu membantu meningkatkan bekalan makanan negara melalui pengeluaran hasil akuakultur,” katanya.

img 20260623 wa0037

Beliau berharap kejayaan projek tersebut dapat dijadikan model kepada MPKK lain untuk melaksanakan inisiatif yang sama.

“Paling penting ialah sokongan dan keyakinan komuniti setempat terhadap projek seperti ini kerana ia mampu memberi manfaat kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Rancang perluas projek

Bagi perancangan masa depan, MPKK Bandar Perda bercadang memperluaskan projek tersebut dengan menambah spesies ternakan lain seperti udang.

Menurut beliau, projek ternakan udang akan dimulakan secara kecil-kecilan memandangkan teknik penternakan dan kosnya lebih tinggi berbanding ikan tilapia merah.

Selain itu, pihak MPKK turut mengenal pasti beberapa dewan orang ramai yang tidak digunakan bagi dijadikan lokasi baharu untuk projek bioflok.

img 20260623 wa0035

Malah, pihaknya juga bercadang memohon geran daripada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan projek itu diperluaskan sekiranya projek perintis tersebut mencapai kejayaan yang diharapkan.

“Kami juga berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan bantuan yang sewajarnya bagi menyokong komuniti dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat,” katanya sambil menambah bahawa MPKK juga sedang sedang merancang untuk memulakan projek penanaman nanas dalam tempoh terdekat.

Dengan gabungan teknologi moden, semangat gotong-royong dan sokongan komuniti, projek ternakan ikan tilapia sistem bioflok MPKK Bandar Perda membuktikan bahawa inovasi dalam sektor akuakultur mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti secara mampan.

Sebelum ini, MPKK Bandar Perda juga pernah menerima pengiktirafan MKPP terbaik melalui projek penanaman tembikai susu.