GEORGE TOWN – Situasi penularan influenza di Pulau Pinang dilaporkan masih terkawal meskipun terdapat sedikit peningkatan kadar positif jangkitan sejak beberapa minggu ini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pemantauan rapi akan terus dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang melalui survelan klinik sentinel di seluruh negeri.
“Berdasarkan analisis terkini, trend aktiviti Survelan Influenza-Like Illness (ILI) berasaskan klinikal dari Minggu Epid (ME) 32 hingga 37 tahun ini menunjukkan kadar antara 9.5 hingga 10.5 peratus dan tidak mencatatkan peningkatan ketara.
“Survelan ILI berasaskan makmal pula mencatat sedikit peningkatan iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus dengan Influenza A sebagai strain dominan,” jelas beliau melalui kenyataan media di sini pada 24 September 2025.
Walau bagaimanapun, katanya kadar positif berkenaan masih lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun 2024 iaitu antara 35.6 hingga 51.1 peratus.
“Jumlah kluster jangkitan saluran pernafasan yang dilaporkan pada tahun ini juga lebih rendah sebanyak 52.4 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Zi Sen mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah risiko Influenza, lebih-lebih lagi menjelang hujung tahun yang lazimnya mencatat pola peningkatan kes.
Saya menyeru orang ramai untuk terus berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan bagi melindungi diri serta keluarga, khususnya apabila berada di kawasan tertutup dan sesak,” katanya lagi.
Antara langkah pencegahan yang disarankan beliau termasuklah mencuci tangan dengan sabun atau pensanitasi tangan; mengamalkan etika batuk yang baik; memakai pelitup muka bagi individu bergejala atau berisiko tinggi serta mendapatkan pemeriksaan segera jika mengalami gejala berpanjangan.
Selain itu, jelasnya lagi, Kerajaan Negeri melalui JKN Pulau Pinang turut menawarkan vaksin influenza percuma kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid di fasiliti kesihatan kerajaan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri bersama-sama JKN Pulau Pinang akan terus memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan di dalam dan luar negara serta meningkatkan kesiapsiagaan dari semasa ke semasa.
“Kesedaran, pencegahan dan kerjasama seluruh masyarakat adalah kunci utama bagi memastikan keadaan influenza di negeri ini kekal terkawal,” ujarnya.