SK Sungai Gelugor terima RM50,000 rai ulang tahun ke-200

Admin
04f4f36d 900f 4bf9 8f84 0c6b2b998488

SERI DELIMA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi meraikan sambutan dua abad Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor.

Beliau berkata, kelulusan itu diberikan selepas menerima permohonan penganjuran sambutan tersebut yang dijadualkan pada 7 Julai 2026, bersempena Hari Warisan Dunia George Town.

af0eac6f b227 41d4 a511 a9694da68124

“Puan Guru Besar (Isma Sharni Mohamad Saad) ada menyuarakan hasrat untuk mendapatkan sedikit peruntukan dan sukacitanya saya umumkan RM50,000, yang saya rasa amat mencukupi untuk sambutan 200 tahun sekolah ini.

“Manakala bagi permohonan membina dewan tertutup, iaitu bumbung yang menghubungkan dua bangunan ini, saya minta pihak sekolah mengemukakan reka bentuk dan membuat permohonan rasmi kepada pejabat saya untuk pertimbangan seterusnya,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Logo Dua Abad SK Sungai Gelugor di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng serta kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Gelugor.

c153aca4 de2d 429c 8e28 9d7c23f5df8a

Terdahulu, ketika berucap, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata, SK Sungai Gelugor telah menjadi tiang seri komuniti setempat dengan melahirkan ribuan anak-anak yang menjadi tokoh pendidikan, pemimpin masyarakat, ahli profesional serta individu yang menyumbang kepada negeri dan negara.

“SK Sungai Gelugor tidak boleh hanya berbangga dengan pencapaian sejarahnya, tetapi perlu terus maju dan relevan.

“Identiti serta jati diri sekolah sebagai sekolah Melayu unggul berteraskan akhlak Islamiah wajar dipertahan, pada masa sama memperkukuh adaptasi Pendidikan Abad Ke-21 yang merangkumi kemahiran digital, STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), kreativiti serta pemikiran kritis,” jelasnya.

Tambahnya, peranan sekolah juga perlu berkembang daripada sekadar institusi pendidikan kepada pusat perkembangan komuniti.

“Hubungan dengan PIBG, alumni serta masyarakat setempat harus terus diperkukuh bagi membina persekitaran pembelajaran yang holistik.

“Malah, sebagai sebuah institusi pendidikan berakar umbi dan bersejarah, SK Sungai Gelugor berkongsi aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memajukan pendidikan yang inklusif, berasaskan teknologi dan lestari.

“Inisiatif Visi Penang2030 serta pelbagai peruntukan negeri bagi digitalisasi, program STEM dan penaiktarafan infrastruktur turut membuka peluang nyata kepada sekolah ini untuk memperkukuh kualiti pengajaran, kemudahan pembelajaran dan penglibatan komuniti secara menyeluruh,” katanya lagi.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: SIEW CHIA EN

Video: DARWINA MOHD. DAUD