SEBERANG JAYA – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menegaskan bahawa Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP) – BEST! Anak Penang adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan belia sebagai aset penting pembangunan modal insan negeri.
-

DANIEL Gooi Zi Sen.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian SIKBMPP – BEST! Anak Penang Sesi Kedua 2024 dan Sesi Tahun 2025 yang berlangsung di Butterworth Digital Library di sini pada 25 Oktober 2025.
Menurut beliau, inisiatif yang diperkenal sejak tahun 2022 itu bukan sekadar pemberian insentif kewangan, tetapi juga bertujuan menyemai semangat juang dan membina keyakinan diri anak muda Pulau Pinang agar terus melangkah jauh serta menjadi inspirasi kepada generasi lain.
“Sejak pelaksanaannya, seramai 820 orang belia telah menerima manfaat daripada skim ini dengan jumlah keseluruhan insentif sebanyak RM242,489.34 sehingga tahun 2024,” katanya.

Difahamkan, bagi sesi kedua tahun 2024, sebanyak 25 permohonan melibatkan 38 orang belia telah diluluskan dengan nilai insentif RM20,074 manakala bagi sesi tahun 2025, sebanyak 62 permohonan melibatkan 287 orang belia dengan jumlah insentif RM86,125 telah diluluskan.
Mengulas lanjut, Zi Sen menjelaskan bahawa angka-angka ini menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dalam memperkukuh pembangunan potensi anak muda serta memastikan bakat dan kejayaan mereka terus diiktiraf pada peringkat negeri dan antarabangsa.
Pengiktirafan ini bukan sekadar tanda penghargaan, tetapi juga simbol keyakinan kerajaan terhadap kemampuan belia Pulau Pinang untuk terus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kecemerlangan negeri,” jelasnya.
Dalam ucapan sama, Zi Sen turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima, sambil menyeru mereka agar menjadi ‘Best! Anak Penang’ yang membawa nama negeri ke persada yang lebih tinggi.
Semoga kejayaan hari ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang.
“Jadilah duta belia yang membanggakan Pulau Pinang,” serunya.

Gambar : ALISSALA THIAN