SEBERANG JAYA – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memperuntukkan sejumlah RM20 juta melalui skim dermasiswa MAINPP bagi pelajar-pelajar Islam melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, jumlah tersebut meningkat RM500,000 berbanding tahun lalu sekali gus membuktikan kecaknaan MAINPP dalam memartabatkan syiar Islam melalui pembangunan pendidikan umat di negeri ini.
“Skim derma siswa ini bagi mereka yang melanjutkan pengajian, bukan hanya dalam bidang pengajian Islam, tetapi dalam bidang-bidang pengajian yang profesional seperti kejuruteraan, perakaunan dan lain-lain bidang yang seumpamanya.
“Selain itu, saya juga sebutkan tadi bahawa Kerajaan Negeri komited dalam agenda pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 dengan meletakkan pembangunan pendidikan sebagai teras yang kedua.
“Setelah kita membangunkan instrumen pembangunan sosioekonomi menerusi zakat ini, kita perlukan kutipan zakat yang tinggi di negeri Pulau Pinang.

“Oleh sebab itulah program agihan diadakan pada hari ini bagi menonjolkan program-program agihan yang berimpak tinggi dengan harapan satu hari nanti para mahasiswa ini bergelar graduan, bekerja serta kembali ke Pulau Pinang dan menjadi muzaki, iaitu pembayar zakat,” ujarnya dalam sidang media usai Majlis Penyerahan Dermasiswa MAINPP 2025 dekat sebuah hotel di Seberang Jaya semalam.
Difahamkan, skim dermasiswa yang ditawarkan ini meliputi pengajian yang bermula pada peringkat diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung merangkap Yang Dipertua MAINPP berharap sasaran kutipan zakat RM200 juta dapat direalisasikan agar setiap bantuan melalui instrumen Zakat MAINPP dapat ditingkatkan.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS