Skim Strata Bebas Kenderaan Usang, gamit pelbagai reaksi

img 0989 GAMBAR hiasan

PULAU Pinang dikatakan sebagai negeri pertama yang melaksanakan Skim Strata Bebas Kenderaan Usang, iaitu satu usaha menangani kenderaan terbiar di kawasan perumahan bertingkat.

Pada 20 September 2025, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dengan diiringi Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye, menyempurnakan acara pelancaran skim tersebut.

Siew Fook memberitahu bahawa langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan itu adalah selari dengan usaha yang dilakukan pada peringkat kementerian baru-baru ini.

img 0990
ANTHONY Loke Siew Fook sendiri menyaksikan kerja-kerja menunda kenderaan usang dan terbiar di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan baru sahaja melancarkan e-Deregistration (e-Dereg), iaitu satu platform digital yang membolehkan pemilik kenderaan sendiri membatalkan pendaftaran dan melupuskan kenderaan peribadi secara sukarela, pantas, sah dan telus.

“Proses ini hanya mengambil masa kurang daripada lima minit, dan pemilik tidak perlu hadir secara fizikal di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Setelah dibatalkan, rekodnya akan dipadam secara sah dalam sistem JPJ,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan pada majlis berkaitan di Flat Turnkey Sri Pinang baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita, beliau turut memuji peranan yang dimainkan oleh Car Medic, iaitu syarikat yang mendapat lesen khas bagi memastikan proses pembatalan pendaftaran dan pelupusan kenderaan peribadi lebih mudah serta mesra alam.

Pada awal pagi ini, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, berkesempatan membuat tinjauan di beberapa kawasan perumahan berstrata sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Di kawasan petak parkir perumahan berstrata tertentu, memang terdapat kereta atau motosikal usang yang tersadai sehingga mencacatkan pemandangan.

img 0984
YAHAYA Othman

Pengerusi MC Delima Indah, YAHAYA OTHMAN, 55 berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam menjayakan Skim Strata Bebas Kenderaan Usang.

“Memang ada kereta usang yang terbiar begitu lama walaupun Notis 14 Hari telah dikeluarkan berkali-kali.

“Itu belum mengambil kira motosikal terbiar di tapak parkir kerana sesetengah pemilik atau penyewa unit kediaman membeli motosikal baharu.

“Kalau nak menggunakan sistem e-Deregistration (e-Dereg) yang disediakan kementerian pun, masih memerlukan komitmen pemilik kenderaan itu sendiri; kita (JMB atau MC) tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan kerja pembatalan pendaftaran dan pelupusan kenderaan usang tersebut.

“Berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), kawasan parkir perumahan berstrata memang kawasan persendirian di bawah seliaan JMB atau MC, tetapi kita tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan keluar kenderaan usang kerana tidak ada punca kuasa untuk berbuat demikian.

“Isu berpanjangan ini banyak kali dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kami dimaklumkan bahawa mereka sendiri tidak boleh memindahkan kenderaan terbiar dari kawasan parkir persendirian di bawah MC atau JMB,” jelasnya lagi.

Seorang lagi anggota JMB yang enggan dikenali memberitahu bahawa kebiasaannya mereka dinasihatkan oleh PBT untuk menjejaki pemilik kenderaan usang, selain mengeluarkan Notis 14 Hari berwajib.

“Walaupun Notis 14 Hari dikeluarkan atau ditampal pada cermin luar kenderaan usang, biasanya notis sama akan dikeluarkan semula beberapa bulan selepas itu; tidak lebih daripada itu.

“Kalau saya sendiri mengambil langkah memindahkan kenderaan usang keluar dari kawasan parkir flat ini, ia hanya akan mendedahkan risiko yang tidak diingini seperti salah faham dengan pihak berkenaan.

“Kalau pegawai penguat kuasa MBSP yang lengkap beruniform sendiri melakukan kerja memindahkan kenderaan usang dari tapak parkir flat, mungkin akan dianggap wajar sebab ada punca kuasa dan aset untuk berbuat demikian.

“JMB atau MC sebenarnya bukan sahaja tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, malah mereka juga mempunyai sumber kewangan yang terhad jika perlu menanggung sepenuhnya kos menunda kenderaan usang dari parkir flat,” jelasnya.

img 0985
MOHD Noor Ahmad

Ahli Majlis MBSP, DATO’ MOHD. NOOR AHMAD berkata, rata-rata JMB dan MC menghadapi kekangan kewangan untuk membiayai sepenuhnya kos pemindahan kenderaan usang dari kawasan parkir flat masing-masing, jika hanya bergantung pada kutipan fi penyelenggaraan.

“Seperti Delima Indah, kalau dewan bersebelahan taman perumahan berstrata itu diletakkan di bawah MC berkenaan, maka MC akan ada sumber pendapatan alternatif dan tidak bergantung pada kutipan fi penyelenggaraan semata-mata.

“Saya percaya kebanyakan MC atau JMB mempunyai sumber pendapatan terhad, lebih-lebih lagi apabila dewan orang ramai di kawasan perumahan berstrata tersebut seperti Delima Indah yang diserahkan kepada MPKK.

“Kekangan kewangan yang selama ini dihadapi oleh MC dan JMB memaksa mereka mengelak daripada menanggung kos lain seperti kerja tambahan demi menjayakan Skim Strata Bebas Kenderaan Usang,” jelasnya lagi.

d3a46ad7 c413 4245 a5a4 4ea37be44668
ZULKIPLY Ishak

Seorang lagi Ahli Majlis MBSP, ZULKIPLY ISHAK, pula berpendapat bahawa secara lebih efisien, PBT sendiri patut menggerakkan jentera penguat kuasa serta aset bagi satu tempoh yang wajar bagi menjayakan Skim Strata Bebas Kenderaan Usang.

“Walaupun lebih efisien, operasi ini sudah tentu akan menekan kedudukan kewangan MBSP kerana melibatkan kos dari segi sumber tenaga serta kewangan.

“Selain itu, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBSP perlu mendorong semua JMB dan MC untuk mewujudkan undang-undang kecil (by-law) yang diputuskan serta dipersetujui majoriti penghuni dalam mesyuarat agung, bagi memberi kuasa kepada JMB dan MC memindahkan kenderaan usang selepas mungkin tiga kali Notis 14 Hari dikeluarkan.

“Ini kerana, berdasarkan undang-undang sedia ada, JMB atau MC perlu mengikut garis panduan yang disediakan oleh pihak PBT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dalam menguruskan kenderaan terbiar.

“Lazimnya, prosedur ini memakan masa panjang dan tidak sesingkat 14 hari sahaja. JMB dan MC perlu melaporkan kenderaan tersebut kepada PBT, lalu menunggu prosedur rasmi untuk menunda kenderaan itu,” jelasnya lagi.

Di sebalik keghairahan semua pihak menjayakan Skim Strata Bebas Kenderaan Usang, seorang pegawai MBSP yang dihubungi kemudian berkata, perlu dilihat juga kemampuan Pihak Berkuasa Negeri serta kedua-dua PBT untuk menyediakan kawasan bertanah khusus bagi proses pelupusan kenderaan usang kelak.

“Semua kita bersetuju bahawa Skim Strata Bebas Kenderaan Usang akan menambahkan keindahan kawasan parkir bagi taman-taman perumahan berstrata, jika berjaya kelak.

“Seperti Menteri dan Exco serta mungkin pentadbir kedua-dua PBT, saya juga bersetuju bahawa tidak keterlaluan jika kita menganggap Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang melaksanakan Skim Strata Bebas Kenderaan Usang, serta akan diikuti oleh negeri-negeri lain.

“Namun, dalam memburu cita-cita ini, tidak salah jika kita melihat cabaran yang dihadapi oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), umpamanya, yang sebelum ini pernah mewujudkan Pusat Sehenti Kenderaan Terbiar untuk menggalakkan orang awam melupuskan kenderaan lama mereka secara sukarela.

“Tidak salah juga jika kita melihat pengalaman pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang pernah melancarkan kempen dikenali sebagai ‘Jom Serah Kenderaan Terbiar dan Lanjut Usia’ untuk tujuan sama.

“Paling saya bimbang, selepas pelaksanaan Skim Strata Bebas Kenderaan Usang, didapati tiada kawasan tambahan yang sesuai di Pulau Pinang untuk dijadikan tempat pelupusan kenderaan usang, sehingga kita terpaksa bergantung kepada negeri-negeri jiran kerana tiada banyak pilihan,” jelasnya.