‘Skip for Fun & Fund’ kumpul dana bantu pesakit jantung

GEORGE TOWN – Hospital Adventist Pulau Pinang (PAH) dengan kerjasama Mended Hearts Penang (MHP), sebuah organisasi sokongan pesakit jantung bakal menganjurkan program, ‘Skip for Fun & Fund’ sempena sambutan Hari Jantung Sedunia mulai 10 pagi hingga 1 petang, 27 September ini.

Program yang mengetengahkan cabaran skip (lompat tali skip) dan pertandingan gaya skip paling kreatif tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran kepada umum akan kepentingan menjaga kesihatan jantung.

“Saban tahun, terdapat pertambahan antara 10 hingga 15 peratus pesakit jantung atau penyakit berkaitan kardiovaskular (CVD) di seluruh negeri.

“Malah, menurut Persekutuan Jantung Sedunia (WHF), jumlah kematian akibat CVD meningkat dari 17.3 juta setahun ke 23 juta menjelang tahun 2030 nanti,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan pada sidang media pengumuman penganjuran acara ‘Skip for Fun & Fund’ di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PAH, Dr. Wesley Toh, wakil-wakil dari MHP dan pusat membeli-belah Penang Times Square.

Menurut Jayabalan, masyarakat hari ini suka menunding jari dan ‘menuduh’ bahawa pesakit jantung sakit disebabkan tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak bersenam, makan berlebihan dan merokok.

“Sedangkan masyarakat tidak tahu, setiap individu adalah berpotensi mengalami CVD kerana faktor persekitaran juga.

“Justeru, penganjuran ‘Skip for Fun & Fund’ yang bakal diadakan di di Konkos Aras 1, Penang Times Square adalah tepat pada masanya,’’ jelasnya.

Tambah beliau, pada penganjuran tersebut, selain melompat tali skip, umum juga dapat menderma serendah RM5 bagi tujuan menampung dana pesakit jantung.

Dalam pada itu, Wesley memberitahu bahawa pihaknya berhasrat mengumpul dana berjumlah RM150,000 pada penganjuran berkenaan.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi talian 04 – 222 7644/7606/7344.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);