Udini Square tarikan baharu P. Pinang

GELUGOR – Warga Pulau Pinang kini berpeluang mendapatkan pelbagai barangan eksklusif dari rangkaian berjenama antarabangsa dan tempatan apabila Udini Square, sebuah pusat beli-belah kontemporari baharu dibuka di MetroEast berdekatan Lebuh Tunku Kudin di sini baru-baru ini.

Menurut Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang yang hadir menyempurnakan majlis perasmian berkaitan, Pulau Pinang akan lebih menyerlah dengan adanya pusat-pusat membeli-belah baharu.

“Sungguhpun tahun 2015 menjadi tahun yang mencabar kepada syarikat peruncitan dan pembekal berikutan terdapatnya perubahan sentimen perbelanjaan dalam kalangan pengguna, namun, dari segi positifnya, ia akan menambah kepelbagaian pilihan pengguna ketika berbelanja,” ujarnya kepada Buletin Mutiara selepas Majlis Perasmian Udini Square di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad (Wilayah Utara), Datuk Toh Chin Leong dan Pengarah Urusan IJM Land Berhad, Edward Chong.

Jelas Heng Kiang, Kerajaan Negeri sentiasa bertekad untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah destinasi pilihan pelancong bukan sahaja dari dalam, malah luar negara.

“Saya percaya, pembukaan Udini Square ini akan memberi lebih banyak pilihan membelibelah dan tempat untuk menjamu selera terutama mereka yang tinggal berdekatan kawasan ini.

“Selain pusat beli belah terkemuka, Pulau Pinang juga ‘menyajikan’ pelbagai aktiviti dan acara menarik sepanjang tahun, antaranya Fiesta Belon Udara Panas, Festival Muzik Antarabangsa Pulau Pinang, Festival Bon Odori dan Festival George Town,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang.

Tambahnya, lokasi tersebut juga bakal menjadi tumpuan warga Pulau Pinang terutamanya dengan tarikan peruncit-peruncit terkemuka seperti SportDirect.com, MST Golf Superstore dan Mr. D.I.Y sebagai penyewa utama.

“Penyewa lain termasuklah, Frank Laurent Coffee Roasters, Happy Life, Nagomi, My Nail Parlour dan myNEWS.com,’’ ujar Heng Kiang. Udini Square dibangunkan di atas tanah berkeluasan 2.78 ekar dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM75 juta.

Berkeluasan 110,000 kaki persegi, Udini Square yang dibangunkan oleh IJM Land Berhad meliputi 103 ruang runcit dan pejabat tiga tingkat dengan kemudahan ruang parkir satu tingkat.