SMK Convent aktif program kitar semula

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
Gambar: MOHD. FAIZ ABDUL HALIM

BUKIT MERTAJAM – Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Mertajam (SMK Convent) baru-baru ini melancarkan Kempen Sisa Sifar dan Makan Sampai Habis setelah bergiat aktif dengan penyertaan Anugerah Sekolah Hijau anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak tahun 2010.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif semasa merasmikan majlis tersebut memberitahu, sejak sekolah ini menyertai pertandingan Anugerah Sekolah Hijau, mereka (SMK Convent) berjaya mengekalkan kedudukan di tempat kedua selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2011, 2012 dan 2013.

“Malah, saya turut difahamkan bahawa sekolah ini akan turut menyertai Program Sekolah Cluster Cemerlang bagi Kategori Alam Sekitar menjelang tahun 2015 nanti.

“MPSP akan berusaha membantu sekolah ini untuk mencapai hasrat cemerlang dalam alam sekitar,” katanya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai penyertaan SMK Convent di dalam program Sisa Sifar, Maimunah memberitahu bahawa pelaksanaan konsep tersebut akan mengurangkan pembuangan sisa buangan ke alam semulajadi atau tapak pelupusan sampah.

“Secara mudah, konsep ini mengajak kita supaya memaksimumkan kitar semula, meminimakan sisa lebihan, mengurangkan penggunaan dan memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh diguna semula, dibaiki, dikitar dan dikomposkan.

“Sehingga kini, terdapat 42 penyertaan aktif dalam Program Sisa Sifar iaitu 32 buah sekolah dan komuniti (10) di seluruh Seberang
Perai,” ujarnya.

Tambah Maimunah, Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut setiap tahun pada 5 Jun diharap dapat menjayakan Program Sisa Sifar dan sekaligus mengurangkan penghasilan sisa organik.

“Dengan tema Raise Your Voice and Not Sea Level, saya menyeru  kepada semua supaya dapat bekerjasama mengurangkan kepanasan global.

“Diharap warga Seberang Perai dapat menjalankan aktiviti kompos sisa organik atau menjana biogas dan mengurangkan penghasilan gas metana,” serunya.

Sehingga April 2014, program-program seumpama ini telah berjaya membantu MPSP mencapai kadar kitar semula sehingga 34.71 peratus dengan penjimatan sebanyak RM1.52 juta bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.