SN Ahmad Nawab seri majlis Hari Jadi Ke-76 TYT

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BATU UBAN – Seniman Negara, Datuk Dr. Ahmad Nawab diberi kepercayaan memimpin acara pentas sempena Majlis Jamuan Malam Hari Jadi Ke-76 Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (T.Y.T), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.

Tiupan saksofon artis veteran tersebut cukup memukau tetamu yang hadir, mengingatkan lakonan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee bermain alat muzik serupa dalam filem ‘Ibu Mertuaku’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, Datuk Law Choo Kiang (Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I), Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Datuk Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) antara kenamaan utama yang hadir pada majlis tersebut.

Lebih 200 kenamaan, pegawai tinggi kerajaan, duta, ahli perniagaan serta pemimpin masyarakat menyertai majlis keraian kali ini.

Guan Eng dalam ucapannya mendoakan agar Abdul Rahman dan isteri senantiasa diberikan nikmat kesihatan demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat terus hidup makmur.

Sementara itu, hampir 200 kenamaan serta pemimpin Kerajaan Negeri menyertai majlis jamuan teh sempena sambutan serupa berkaitan bagi peringkat Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya.

Acara memotong kek oleh Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff merupakan acara kemuncak majlis sambutan berkenaan.

Keraian itu turut diserikan dengan pelbagai tarian kebudayaan serta nyanyian lagu klasik oleh anak seni tempatan.