KUALA LUMPUR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 yang bakal meningkatkan pemberian geran kapitasi (capitation) kepada negeri-negeri.
Ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, Kon Yeow berkata bahawa peningkatan geran peruntukan kapitasi yang dicadangkan adalah langkah yang amat dialu-alukan memandangkan kadar sedia ada kali terakhir disemak pada 23 tahun lalu.
Namun, pada masa sama beliau menegaskan bahawa struktur formula yang disemak semula perlu diteliti dengan lebih mendalam bagi memastikan RUU berkenaan benar-benar mencerminkan realiti semasa.
“Bagi negeri yang mempunyai populasi lebih besar seperti Pulau Pinang, ini bermakna kebanyakan penduduk dibiayai pada kadar marginal antara RM13 hingga RM14, bukannya RM102.
“Formula ini memberi manfaat yang besar kepada 100,000 penduduk pertama, tetapi menurun dengan ketara selepas itu, dan saya rasa perkara ini perlu dikaji semula,” katanya di sini sebentar tadi.


Mengulas dari sudut realiti ekonomi, Kon Yeow memaklumkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita Pulau Pinang kini melebihi RM72,000 setahun, dengan jumlah KDNK negeri mencecah kira-kira RM130 bilion berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Dengan hasil Persekutuan dianggarkan sekitar 15 hingga 18 peratus daripada KDNK di peringkat nasional, dianggarkan bahawa Pulau Pinang secara konservatif menjana kira-kira RM20 bilion hasil Persekutuan setiap tahun atau bersamaan sekitar RM11,000 bagi setiap penduduk.
“Bagi setiap RM11,000 yang dijana setiap penduduk, pulangan marginal di bawah formula kapitasi ini hanyalah sekitar RM13 seorang,” ujarnya.
Kon Yeow menjelaskan bahawa formula sedia ada adalah berasaskan demografi semata-mata tanpa mengambil kira faktor penting seperti sumbangan KDNK, cukai yang dijana kepada Persekutuan, intensiti eksport, tekanan terhadap infrastruktur dan kos kepadatan bandar.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa walaupun jumlah keseluruhan pemberian Persekutuan kepada Pulau Pinang menunjukkan peningkatan pada tahun-tahun tertentu, dengan kemuncaknya pada 2023 sebanyak RM325.67 juta, tetapi peningkatan tersebut sebahagian besarnya didorong oleh komponen bukan berkanun seperti Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan peruntukan khas lain.
“Pemberian berkanun di bawah Perkara 109 dan 110 Perlembagaan Persekutuan, termasuk Pemberian Mengikut Bilangan Orang, Bayaran Perkhidmatan 10 peratus, Pemberian Pertambahan Hasil, pembiayaan Perbelanjaan Mengurus di bawah Senarai Bersama serta Pemberian Pelancongan pula dilihat semakin mengecil dari segi peratus sumbangannya terhadap jumlah keseluruhan pemberian.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa pertumbuhan jumlah pemberian keseluruhan tidak semestinya mencerminkan pengukuhan asas fiskal negeri, sebaliknya lebih bergantung kepada komponen pembangunan yang tertakluk kepada keutamaan dasar tahunan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Kon Yeow mengemukakan tiga pertimbangan dasar utama termasuk keperluan menilai semula struktur pemberian berkanun sedia ada agar lebih responsif kepada realiti semasa meliputi pertumbuhan penduduk, tahap urbanisasi, kos penyelenggaraan infrastruktur bandar serta sumbangan negeri kepada ekonomi negara.
“Tambahan pula, formula pemberian yang lebih dinamik dan berasaskan indikator objektif akan memperkukuh prinsip keadilan fiskal (fiscal equity) antara negeri-negeri.
“Malah, pengukuhan komponen berkanun akan memberikan kestabilan jangka panjang dan mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan khas yang tertakluk kepada perubahan dasar tahunan,” ulasnya lanjut.
Kon Yeow turut mengingatkan bahawa negeri-negeri seperti Pulau Pinang memainkan peranan besar dalam menjana pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan hasil negara, namun tidak menerima pulangan hasil yang tidak setimpal.
“Pindaan formula kapitasi yang dicadangkan tidak memberi ganjaran kepada prestasi, tidak menyediakan insentif kepada pertumbuhan, serta tidak berasaskan prinsip perkongsian hasil.
“Ia hanya mewujudkan model pengagihan pasif dan bukannya sebuah Persekutuan yang dipacu oleh prestasi.
“Justeru, satu mekanisme jangka panjang wajar diteroka bagi memastikan perkongsian hasil dilaksanakan secara lebih mampan dan seimbang,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS