Sokongan berterusan rakyat demi kesinambungan perancangan pembangunan Pulau Pinang

Admin
KETUA Menteri (tengah) bersama-sama tetamu lain merakamkan gambar kenangan dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Bukit Gelugor di sini tadi.

AIR ITAM – Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan hari ini berharap akan terus mendapat sokongan rakyat demi kesinambungan perancangan pembangunan yang teratur dan baik pada masa hadapan di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyampaikan amanat itu semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Kang dekat sini pada 22 April 2022.

Menurut beliau, segala limpahan pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang dikecapi oleh sekalian rakyat Pulau Pinang mesti terus dipelihara dengan semua pihak mengambil bahagian dalam usaha menyemarakkan lagi semangat muhibah serta perpaduan kaum.

“Kita telah mencapai begitu banyak pencapaian dan kemajuan daripada sudut ekonomi, tetapi tanpa perpaduan dan pepecahan dalam kalangan rakyat ia (kemajuan sosioekonomi) ini adalah sia-sia.

“Sehubungan itu, dengan program seumpama ini (iaitu) program meraikan umat Islam menjalani ibadah berpuasa sekali gus dapat memupuk semangat persefahaman dalam kalangan penduduk Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh memberitahu bahawa penganjuran majlis berbuka puasa pada petang ini antara lain bertujuan untuk meraikan sekalian anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang selama ini banyak menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan pemimpin Kerajaan Negeri dan rakyat di semua lapisan sosioekonomi Pulau Pinang.

“(Majlis berbuka puasa) ini adalah rekod kami sebagai menghargai pengorbanan sekalian anggota MPKK sebagai tulang belakang bagi Kawasan (Parlimen) Bukit Gelugor.

“Tidak dilupakan kepada penduduk Bukit Gelugor yang terus memberi kepercayaan kepada saya.

“Hasrat kita bersama adalah menjadikan Bukit Gelugor suatu tempat yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada barisan pemimpin Kerajaan Negeri terutama Kon Yeow kerana meluangkan masa menghadiri majlis keraian di sini walaupun dihambat pelbagai program lain sepanjang bulan Ramadan.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying dan Datin Seri Utama Puan Gurmit Kaur (isteri kepada mendiang Karpal Singh, bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor) merupakan antara 200 hadirin yang menyertai majlis berbuka puasa tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI