SPACE bakal perkukuh pengurusan bandar pintar, tingkat kualiti perkhidmatan MBSP

Admin
img 20260124 wa0094

SEBERANG JAYA – Penubuhan Aspire Centre (SPACE) sebagai pusat operasi bersepadu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal memperkukuh pengurusan bandar pintar dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Aspire Centre dan Santuni Komuniti yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dekat Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, inisiatif tersebut adalah seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, ketelusan tadbir urus serta kesejahteraan rakyat menerusi penggunaan teknologi dan digitalisasi.

img 20260124 wa0099img 20260124 wa0095

“SPACE bakal memperkukuh pengurusan bandar pintar melalui integrasi data, sistem aduan pintar, pemantauan trafik, keselamatan awam serta pengurusan perkhidmatan bandar secara masa nyata, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada seluruh warga Seberang Perai.

“Usaha ini melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memacu transformasi Pulau Pinang ke arah sebuah negeri lebih pintar, inklusif dan berdaya tahan.

“Selain itu, inisiatif ini juga dapat memastikan rakyat bukan sekadar menjadi penerima manfaat tetapi juga rakan kongsi aktif dalam membentuk masa depan negeri yang lebih sejahtera, mampan dan berdaya saing,” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid serta barisan Ahli Majlis bagi MBSP.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pendekatan berkaitan adalah selaras dengan penggunaan teknologi pintar seperti Internet of Things (IoT), data raya dan kecerdasan buatan (AI) bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat dan responsif.

“Selain itu, inisiatif ini juga diyakini dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) seiring dengan perubahan teknologi maya,” jelasnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut memuji usaha MBSP dalam mendekati masyarakat melalui penganjuran program menyantuni rakyat yang menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Tahniah kepada MBSP atas penganjuran ini yang mana telah memperlihatkan bahawa kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan memahami keperluan komuniti melalui pendekatan turun padang.

“Pendekatan kerajaan mendekati rakyat ini yang ditekankan oleh Perdana Menteri iaitu sesuatu pembangunan itu perlu dirasai manfaatnya oleh rakyat dan bukan sekadar diukur melalui angka dan projek fizikal semata-mata.

“Justeru, saya berharap penganjuran program sebegini dapat dipelbagaikan lagi menerusi semangat “whole-of-society’ demi mencapai pembangunan seiringan ke arah Pulau Pinang yang lebih baik,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Anwar ketika berucap menzahirkan ucapan tahniah kepada MBSP kerana menjadi antara PBT terawal yang melaksanakan inisiatif ke arah bandar pintar meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan dan keterbatasan.

img 20260124 wa0087img 20260124 wa0098

Beliau turut memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PBT atas pelbagai pencapaian yang membanggakan, khususnya dalam aspek menyantuni serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Kalau kita bincang soal bandar pintar, perlu ada satu lonjakan yang menuntut banyak persiapan termasuk prasarana dan latihan untuk memastikan mereka yang mempunyai bakat menguasai bidang teknologi baru yang sangat mencabar ini.

“Pulau Pinang sememangnya agak terkehadapan dari segi perindustrian dan semikonduktor yang merupakan permulaan yang baik, tetapi apa yang harus kita kejar ialah latihan serta kemahiran,” katanya.

Baderul Amin sebelum itu menjelaskan bahawa penubuhan SPACE membolehkan pengurusan data bandar dapat dilaksanakan secara bersepadu dalam satu pusat kawalan.

“SPACE menyokong pemantauan dan penguatkuasaan seperti pelanggaran tempat letak kereta, pembuangan sampah haram serta kawalan pergerakan kenderaan berat, di samping menyumbang kepada pengukuhan keselamatan awam melalui pemantauan masa nyata.

img 20260124 wa0092

“Ia turut menyediakan sokongan maklumat kepada agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus meningkatkan keberkesanan pencegahan dan penguatkuasaan jenayah,” ujarnya.

Dari segi teknologi dan infrastruktur pula, Baderul Amin memberitahu bahawa SPACE menggunakan rangkaian gentian optik sebagai tulang belakang sistem dan dilengkapi teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR) atau License Plate Recognition (LPR) bagi memantau pergerakan kenderaan.

“Setakat ini, 11 kawasan hotspot telah dikenal pasti dan dipantau di bawah sistem kawalan bandar MBSP.

“Paparan visual pintar dan analitik data secara real-time membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas dan tepat.

“Keupayaan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah menambah keyakinan kepimpinan, agensi penguatkuasaan dan masyarakat terhadap tahap keselamatan dan pengurusan bandar Seberang Perai,” katanya.

Tambah Baderul Amin, SPACE dioperasikan dan diselia sepenuhnya oleh Bahagian Keselamatan dan Komuniti MBSP, melibatkan anggota beruniform serta kakitangan awam bagi memastikan operasi yang berterusan, berintegriti dan profesional.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan SPACE telah menunjukkan impak yang memberangsangkan terhadap pengurusan bandar, meningkatkan kecekapan operasi serta keyakinan masyarakat dan
menjadi pemacu kepada aspirasi “Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Hadapan.”, ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI