GEORGE TOWN – Kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan dari sudut perundangan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia, setaraf dengan negeri-negeri lain dalam persekutuan.
Berhubung isu bayaran ‘sewaan’ atau ‘bayaran’ kepada Kedah juga tidak timbul pada peringkat Kerajaan Negeri.
“Berdasarkan Perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta peruntukan Perkara 167(7) dan Perkara 169(a) Perlembagaan Persekutuan, apa-apa komitmen bayaran tahunan yang wujud pada zaman pentadbiran British telah berpindah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menegaskan perkara itu ketika membentangkan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 20 November 2025.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa dari sudut undang-undang, Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang obligasi untuk membayar sebarang bentuk sewaan, pampasan atau bayaran kepada Kedah.
Kedudukan ini adalah selaras dengan evolusi perlembagaan negara serta struktur Persekutuan Malaysia.
“Malah, sempadan negeri juga telah ditetapkan secara muktamad melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325], yang digubal di Parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang naratif atau provokasi yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mampu menggugat keharmonian awam, terutama melibatkan hubungan antara negeri.
Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan, dan segala komitmen kewangan sejarah yang melibatkan Kedah adalah urusan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri akan terus menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan memastikan hubungan antara negeri terpelihara berdasarkan lunas undang-undang,” ulasnya lanjut.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN